AM

KERAJAAN NEGERI DIBERI KUASA LEBIH TEGAS BANTERAS KILANG SISA ELEKTRONIK HARAM

07/05/2026 09:57 PM

PUTRAJAYA, 7 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri dibenarkan mengambil tindakan lebih tegas dan menyeluruh bagi membanteras aktiviti pemprosesan sisa elektronik haram, termasuk melaksanakan pencerobohan serta rampasan tanah terhadap premis yang terlibat.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kenyataan memaklumkan perkara itu dipersetujui pada Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar dan Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Negeri yang Bertanggungjawab mengenai Alam Sekitar Bilangan 1 Tahun 2026 (MEXCOE Bil. 1/2026) hari ini.

“Pendekatan ini adalah langkah proaktif dan strategik bagi memperkukuh tindakan penguatkuasaan sedia ada, di samping memastikan aktiviti pemprosesan sisa elektronik secara haram dapat dibanteras secara lebih efektif,” menurut kenyataan itu.

NRES memaklumkan perbincangan mengenai tindakan tegas yang boleh diambil kerajaan negeri terhadap premis yang menjalankan aktiviti itu menjadi fokus utama MEXCOE Bil. 1/2026 yang dipengerusikan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Joseph Arthur Kurup.

Mesyuarat itu dihadiri ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang memegang portfolio berkaitan alam sekitar dari seluruh negara serta pegawai kanan jabatan dan agensi berkaitan di peringkat Persekutuan dan negeri.

Menurut NRES, ahli mesyuarat turut dimaklumkan sebanyak 83 kilang pemprosesan sisa elektronik secara haram telah dikenal pasti di seluruh negara menerusi pelaksanaan tiga siri Ops Hazard oleh Jabatan Alam Sekitar dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan.

Selain itu, NRES memaklumkan dapatan kajian Indeks Prestasi Alam Sekitar Malaysia (MyEPI) yang dilaksanakan bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) turut dibentangkan.

“Kajian MyEPI ini menyediakan penilaian komprehensif mengenai prestasi alam sekitar di seluruh Malaysia yang berfungsi sebagai alat sokongan pembuatan keputusan berasaskan data yang komprehensif,” menurut kenyataan itu.

Antara perkara lain yang turut dibincangkan termasuk status pelaksanaan larangan penggunaan beg plastik jinjit sekali guna, ketersediaan Jabatan Meteorologi Malaysia untuk pemantauan aktiviti jerebu rentas sempadan menggunakan Pemodelan Sebaran Aerosol dan Pencemar Udara serta status insiden pembakaran terbuka dan tindakan pencegahan.

-- BERNAMA


 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan