Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding mata wang utama dan serantau termasuk dolar AS ketika ditutup pada Jumaat berikutan pelabur kekal berhati-hati menjelang data pekerjaan gaji bukan ladang (NFP) Amerika Syarikat dalam persekitaran ketegangan konflik di Asia Barat yang kembali memuncak.
Pada 6 petang, mata wang tempatan berkurangan kepada 3.9185/9230 berbanding dolar AS daripada 3.9070/0115 ketika ditutup pada Khamis.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata NFP dijangka menguncup kepada 65,000 pada April berdasarkan anggaran konsensus berbanding 178,000 pada Mac.
“Mata wang tempatab merosot sebanyak 0.31 peratus berikutan keadaan yang tidak menentu di Asia Barat,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata aktiviti pengambilan untung muncul selepas konflik Asia Barat memuncak, menguji sentimen risiko.
Beliau berkata serangan Iran ke atas kapal perang AS yang melintasi Selat Hormuz telah menambah lagi tahap berhati-hati baharu terhadap sentimen pasaran.
“Bagaimanapun, naratif gencatan senjata yang lebih luas kekal kukuh selepas Presiden AS, Donald Trump terus memberi petunjuk bahawa gencatan senjata masih kekal,” katanya.
Menurut Innes, pihak pasaran tetap yakin bahawa konflik di Asia Barat akan reda, dan keadaan itu dijangka membantu mengukuhkan mata wang Asia serta minat pelabur di rantau ini.
”Sebaliknya, para pedagang enggan menambah pendedahan baharu sebelum data pekerjaan AS dikeluarkan, terutamanya jika angka yang lebih kukuh daripada jangkaan menghalang Rizab Persekutuan AS daripada memulakan langkah pelonggaran dan menyokong pengukuhan dolar AS,” katanya.
Pada penutupan, ringgit diniagakan rendah berbanding beberapa mata wang utama.
Unit tempatan turun berbanding yen Jepun kepada 2.5010/5040 daripada 2.4982/5013 ketika ditutup pada Khamis, merosot berbanding pound Britain kepada 5.3354/3416 daripada 5.3202/3263 semalam dan berkurangan berbanding euro kepada 4.6121/6174 daripada 4.5978/6031 sebelumnya.
Ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang negara ASEAN.
Ia rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0910/0948 daripada 3.0861/0901 ketika ditutup semalam, berkurangan berbanding baht Thailand kepada 12.1640/1844 daripada 12.1486/1687 sebelum itu dan kekal tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 225.4/225.7.
Dalam pada itu, ringgit tinggi sedikit berbanding peso Filipina kepada 6.46/6.47 daripada 6.46/6.48 sebelumnya.
-- BERNAMA
