KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Tawaran awam permulaan (IPO) SkyeChip Bhd telah terlebih langganan sebanyak 95.03 kali menjelang penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia.
SkyeChip dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa ia menerima 74,453 permohonan untuk 3.45 bilion saham IPO daripada warganegara Malaysia bagi 35.92 juta saham yang ditawarkan di bawah bahagian awam.
“Ini diterjemahkan kepada jumlah permintaan sebanyak RM3.04 bilion, menjadikannya jumlah tertinggi sejak IPO Petronas Chemicals Group Bhd pada 2010, katanya.
Pada masa sama, sebanyak 16,647 permohonan bagi 668.27 juta saham diterima untuk bahagian Bumiputera, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 36.21 kali, menurut syarikat itu.
Sementara itu, bahagian awam untuk pelabur Malaysia yang lain menarik 57,806 permohonan bagi 2.78 bilion saham, menghasilkan kadar terlebih langganan sebanyak 153.86 kali.
“Baki 109.67 juta saham IPO ditawarkan melalui proses penetapan harga dengan persetujuan penjual dan pembeli menarik permintaan untuk 4.36 bilion saham, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 38.76 kali bagi bahagian tersebut,” menurut syarikat itu.
Harga institusi dan harga runcit akhir telah ditetapkan pada RM0.88 sesaham.
Maybank Investment Bank Bhd adalah penasihat utama, pengurus buku utama, pengurus penyelaras bersama, penanggung jamin pengurusan dan penanggung jamin bersama bagi IPO berkenaan.
Notis peruntukan saham akan dikeluarkan kepada pemohon yang berjaya pada 18 Mei, 2026.
--BERNAMA
