KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Lebih 20,000 penganut termasuk sukarelawan berhimpun di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini bagi memperingati ulang tahun ke-60 Yayasan Tzu Chi yang disambut secara tiga-dalam-satu, iaitu Hari Wesak, Hari Ibu, dan Hari Tzu Chi Sedunia.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Sim Tze Tzin berkata yayasan itu bukan hanya bersifat kerohanian tetapi juga aktif dalam aktiviti kemanusiaan dengan memberi bantuan kepada pelbagai golongan lapisan masyarakat.
“Tzu Chi antara organisasi kemanusiaan paling teratur di Malaysia dan terlibat dalam pengagihan bantuan dengan pantas semasa bencana termasuk banjir di Selangor, Pantai Timur dan Malaysia Timur,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Hadir sama ialah Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Pengerusi Persatuan Buddha Malaysia (Selangor/Kuala Lumpur) Ming Ji dan Ketua Sami Buddha Malaysia Datuk Dr K. Sri Dhammaratana.
Sim juga menekankan kepentingan memelihara keharmonian berbilang kaum dan agama di Malaysia serta menggesa semua rakyat untuk terus berdoa bagi kemakmuran dan keamanan negara.
Acara berlangsung dalam dua sesi iaitu sesi pertama dari 7 hingga 9 pagi manakala sesi kedua dari 6 petang hingga 8 malam hari ini.
-- BERNAMA
