KUCHING, 11 Mei (Bernama) -- Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an maut dipercayai akibat dilanggar sebuah kenderaan di jalan berhampiran Borneo Medical Centre (BMC) Miri, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata kejadian berlaku kira-kira 1 pagi ketika mangsa sedang melintas dari kanan ke kiri jalan.
“Mangsa disyaki dilanggar di laluan kanan jalan oleh sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Insp Mohd Faizul Ab. Rahim di talian 014-8582582 atau 085-430479, atau mana-mana balai polis berhampiran.
-- BERNAMA
