EKONOMI

RHB DAPAT KELULUSAN BNM UNTUK MULA RUNDINGAN DENGAN TOKIO MARINE

11/05/2026 09:08 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- RHB Bank Bhd memaklumkan bahawa unitnya, RHB Investment Bank Bhd tidak menerima sebarang bantahan daripada Bank Negara Malaysia untuk memulakan rundingan dengan Tokio Marine Asia Pte Ltd mengenai cadangan penjualan sehingga 100 peratus kepentingan dalam RHB Insurance Bhd.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata bank pusat tersebut dalam sepucuk surat memberi kebenaran pihak terlibat untuk memulakan perbincangan mengenai penyepaduan RHB Insurance Bhd dengan Tokio Marine Insurans (Malaysia) Bhd ke dalam entiti insurans yang diperbesarkan, dan RHB Bank akan kekal memegang 35 peratus kepentingan. 

“Kelulusan ini tertakluk kepada rundingan yang dimuktamadkan dalam tempoh enam bulan dari tarikh yang tertera dalam surat tersebut,” katanya. 

Mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, pihak-pihak terlibat juga perlu mendapatkan kelulusan Menteri Kewangan terlebih dahulu, atas syor BNM, sebelum memeterai sebarang perjanjian muktamad. 

Menurut RHB Bank, pengumuman selanjutnya akan dibuat sebaik sahaja perjanjian muktamad dilaksanakan. 

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan