Oleh Niam Seet Wei
KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Konflik Asia Barat yang tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda dalam masa terdekat, berkemungkinan menyebabkan warga Malaysia turut berdepan kenaikan kos penjagaan kesihatan dan tekanan inflasi berkaitan, kata Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Bhd Malaysia Dr Kamal Amzan.
Beliau berkata keadaan itu turut didorong oleh peningkatan kos perubatan serta ketidaktentuan global pada masa ini.
“Oleh itu, tidak wajar untuk menjangkakan harga kekal tidak berubah pada tahun ini.
“Pada masa sama, sukar untuk mengharapkan kos masih pada kadar sama berikutan keadaan pasaran yang tidak menentu,” katanya dalam temu bual dengan Bernama, baru-baru ini.
Sebelum ini, firma pembrokeran insurans yang berpangkalan di United Kingdom, Aon Plc, dalam Laporan Kadar Trend Perubatan Global 2026, menyatakan kadar inflasi perubatan di Malaysia dijangka meningkat kepada 16 peratus pada 2026 daripada 15 peratus yang dicatatkan pada 2025.
Sentimen sama turut dikongsi MBSB Research yang mengunjurkan inflasi perubatan di negara ini meningkat 16 peratus pada 2026 berikutan isu penghijrahan tenaga pakar perubatan dan jururawat serta kenaikan harga ubat-ubatan.
Tidak Cetus Gangguan Mendadak
Mengulas impak konflik Asia Barat yang menular pada akhir Februari 2026, Dr Kamal berkata IHH yang mengendalikan rangkaian 18 hospital di Malaysia, tidak menyaksikan sebarang gangguan atau terjejas secara mendadak.
“Setakat ini, kami tidak mengalami sebarang kekurangan bekalan (ubat-ubatan. Namun, ini bukanlah satu-satu kos yang kami sedang teliti,” katanya.
Beliau berkata aspek lain seperti kadar tarif tenaga elektrik dan subsidi bahan api, boleh memberi tekanan kos tambahan sekiranya krisis itu berlanjutan memandangkan harga bahan api akan turut memberi kesan kepada operasi ambulansnya.
Mengimbangi Kos, Penjagaan Kesihatan Berasaskan Nilai
Dalam usaha mengimbangi peningkatan kos dengan penjagaan kesihatan berasaskan nilai, Dr Kamal berkata IHH mempraktikkan model penjagaan baharu seperti penjagaan ambulatori iaitu pesakit dirawat serta dibenarkan pulang pada hari sama.
“Pesakit boleh kembali bekerja lebih awal dan memerlukan cuti sakit yang singkat,” katanya.
Selain itu, pelaburan dalam teknologi dan automasi juga diperlukan bagi meningkatkan kecekapan selain mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga pekerja.
“Bagi IHH, ini lebih kepada meningkatkan kecekapan berbanding menurunkan kos,” katanya.
Menyentuh kos perubatan, beliau berkata IHH turut memanfaatkan sinergi volum menerusi rundingan secara kolektif di hospital kendaliannya selain meningkatkan penggunaan ubat-ubatan generik selain ubat asal.
“Ini adalah antara pendekatan bagi memastikan inflasi kekal terkawal,” katanya.
Pelan MHIT Langkah Yang Wajar Dipuji
Dr Kamal bersetuju bahawa kos perubatan sememangnya akan terus meningkat setiap tahun dan menyifatkan langkah kerajaan memperkenalkan pelan insurans/takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) asas sebagai satu langkah yang wajar dipuji.
Beliau berkata MHIT bertujuan untuk mencapai tiga objektif utama iaitu pertama, mengubah pemikiran rakyat Malaysia terhadap perbelanjaan penjagaan kesihatan menerusi pengenalan pembayaran bersama, yang sebenarnya masih belum menjadi amalan lazim dalam banyak produk insurans.
“Tanpa pembayaran bersama, apabila anda pergi ke hospital, anda menjangkakan semuanya percuma namun, dengan pembayaran bersama, rakyat Malaysia akan berfikir dua kali sama ada mereka perlu terus pergi ke hospital atau mendapatkan rawatan daripada pengamal perubatan am (GP) terlebih dahulu. inilah perubahan cara berfikir,” katanya.
Beliau berkata kedua, inisiatif itu bertujuan meningkatkan kadar penembusan insurans supaya lebih ramai rakyat Malaysia mendapat perlindungan, seterusnya membantu mengurangkan kesesakan di hospital awam.
Ketiga, MHIT akan memperkenalkan sistem pembayaran balik “Diagnosis-Related Group” (DRG), iaitu hospital menerima bayaran tetap berdasarkan kod diagnosis dan rawatan standard.
“Pada pandangan saya, sistem DRG ini akan membantu mengawal inflasi, walaupun sejauh mana keberkesanannya, saya tidak pasti,” katanya.
Pelan MHIT asas adalah sebahagian daripada strategi menyusun semula MHIT (revamp), meningkatkan ketelusan harga (enhance), memperkukuh sistem kesihatan digital (strengthen), meluaskan pilihan yang menjimatkan kos (expand) dan menambah baik mekanisme pembayaran penyedia (transform) -- RESET -- oleh Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menangani inflasi perubatan dan memperkukuh sistem penjagaan kesihatan negara.
Menurut kertas putih yang diterbitkan pada Januari 2026, pelaksanaan rintis dijangka bermula menjelang separuh kedua 2026 sebelum diperkenalkan kepada pasaran pada awal 2027.
Pelan perlindungan sukarela itu menawarkan had perlindungan tahunan standard sebanyak RM100,000, meningkat kepada RM150,000 bagi individu berusia lebih 60 tahun.
Adakah Perlindungan Tahunan RM150,000 Mencukupi?
Ketika ditanya sama ada had tahunan RM150,000 mencukupi, Dr Kamal berkata keberkesanannya banyak bergantung kepada kejayaan usaha penjagaan kesihatan pencegahan di Malaysia.
“Pengesanan awal melalui saringan kesihatan dapat mengurangkan kos rawatan, manakala intervensi yang lewat boleh meningkatkan perbelanjaan secara ketara. Itu juga merupakan satu lagi penyebab inflasi perubatan,” katanya.
Beliau berkata sistem data penjagaan kesihatan yang lebih bersepadu juga amat penting.
Banyak klinik dan hospital masih beroperasi secara berasingan sehingga menyebabkan rekod pesakit berpecah-pecah dan rawatan yang bertindan, katanya.
“Semua GP perlu beroperasi dalam satu sistem, sama ada swasta atau awam, supaya apabila pesakit masuk ke klinik, doktor tahu perkara yang telah berlaku sebelum ini,” katanya.
Dr Kamal berkata negara seperti Singapura, Australia dan United Kingdom telah melaksanakan sistem penjagaan kesihatan yang lebih bersepadu, walaupun mengakui pelaksanaannya di Malaysia akan mencabar disebabkan isu saling kendali dan integrasi data.
Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia 2026
Walaupun 2026 merupakan Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia namun nilai ringgit turut mengukuh dengan kenaikan sekitar 3.2 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat setakat ini bagi 2026 daripada RM4.0515 ketika ditutup pada 2 Jan, 2026 kepada RM3.922 pada 11 Mei, 2026.
Dr Kamal mengakui pengukuhan ringgit akan meningkatkan kos bagi pesakit antarabangsa, namun menolak kebimbangan terhadap kesannya kepada daya saing pelancongan perubatan Malaysia.
“Kos akan meningkat, tetapi persoalan sebenar adalah sama ada harga kita akan meningkat lebih tinggi berbanding negara jiran. Berdasarkan keadaan semasa, tidak,” katanya.
Beliau yang kekal optimis terhadap sektor itu berkata Malaysia masih menawarkan nilai yang lebih positif berbanding nilai oleh negara jiran, sementara jumlah ketibaan pelancong perubatan terus meningkat.
IHH menyumbang kira-kira satu pertiga kepada jumlah pelancong perubatan di Malaysia, dengan rakyat Indonesia merupakan kumpulan terbesar, diikuti pesakit dari negara Asia Tenggara lain seperti Kemboja, Thailand dan Vietnam, selain Bangladesh, Timur Tengah, serta nomad digital dan pelancong dari kalangan negara Barat.
“Kami merupakan pasaran yang sangat popular bagi pelancong perubatan. Satu pertiga daripada semua pelancong perubatan di Malaysia ialah pesakit kami. Boleh percaya?,” katanya sambil tersenyum.
Dr Kamal berkata kalangan pesakit itu ialah pelancong perubatan luar negara sebenar, bukannya ekspatriat yang menetap di Malaysia.
Operasi Malaysia Kekal Penyumbang Utama Keuntungan
Dalam melangkah maju, Dr Kamal menjangkakan operasi di Malaysia terus menyumbang secara ketara kepada keuntungan kumpulan walaupun menghadapi cabaran global semasa.
“Kami agak optimis terhadap pertumbuhan tahun ini dan Malaysia sememangnya antara pemacu utama bagi kumpulan IHH,” katanya, namun enggan memberikan unjuran pertumbuhan secara khusus.
Laporan tahunan 2025 IHH menunjukkan keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) operasi Malaysia berjumlah RM1.30 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025.
EBITDA di Singapura mencecah RM1.70 bilion, Turkiye dan Eropah pada RM1.70 bilion, di India pula mencecah RM800 juta, manakala di China pada RM100 juta bagi tahun kewangan 2025.
-- BERNAMA
