SUKAN

SUKMA 2026: PERLIS DI LANDASAN TERBAIK REALISASI SASARAN 20 PINGAT EMAS - EXCO

13/05/2026 10:55 AM

KANGAR, 13 Mei (Bernama) -- Kontinjen Perlis berada di landasan terbaik untuk merealisasikan sasaran 20 pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 yang dijadualkan berlangsung pada Ogos depan.

Pengerusi Belia dan Sukan, Komunikasi dan Digital, Pengangkutan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Wan Zikri Afthar Ishak berkata atlet Perlis melakar pencapaian membanggakan di pentas antarabangsa tahun lepas seperti di Sukan SEA Ke-33 Thailand 2025 dan Sukan Para ASEAN Ke-13 Thailand 2025.

Selain itu, beliau berkata atlet negeri itu turut menyerlah dalam kejohanan peringkat kebangsaan seperti Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA), Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) serta kejohanan pembangunan dan bakat di seluruh negara.

“Kejayaan ini membuktikan pembangunan sukan di Perlis berada pada landasan positif dan berterusan, bermula daripada program pembangunan akar umbi, pencarian bakat muda, kejohanan peringkat sekolah hinggalah ke pentas prestasi tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Penghargaan Atlet Negeri Perlis Tahun 2025 dan Pelancaran Road To SUKMA & Para SUKMA Ke-22 Selangor 2026 di sini malam tadi yang disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Wan Zikri berkata di Sukan SEA Thailand 2025, sebanyak 33 atlet negeri itu daripada 13 jenis sukan terpilih mewakili negara dan daripada penyertaan tersebut, atlet Perlis berjaya menyumbangkan dua pingat emas, dua pingat perak dan sembilan pingat gangsa kepada kontinjen Malaysia.

“Kejayaan ini diperoleh menerusi sukan hoki, taekwondo, woodball, teqball, pelayaran, sepak takraw dan tenis. Ia membuktikan bahawa anak-anak Perlis mempunyai kemampuan untuk bersaing dan berdiri sebaris dengan atlet terbaik di rantau Asia Tenggara.

“Di pentas Sukan Para ASEAN Thailand 2025 pula, atlet para Perlis turut mempamerkan semangat juang luar biasa apabila berjaya membawa pulang tiga pingat perak dan lima pingat gangsa menerusi acara para olahraga dan para lawan pedang,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Perlis memperuntukkan insentif kemenangan berjumlah RM29,250 kepada atlet yang berjaya meraih pingat di temasya tersebut sebagai tanda penghargaan kepada mereka. 

Wan Zikri berkata sasaran 20 pingat emas itu bermakna apabila menyahut titah Raja Muda Perlis yang menzahirkan hasrat agar kontinjen negeri itu mampu mencapai sasaran berkenaan di temasya SUKMA.

“Titah tersebut yang dizahirkan sempena Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perlis Tahun 2024 merupakan satu amanah besar kepada seluruh warga sukan negeri untuk terus bekerja keras dan meletakkan sukan Perlis pada tahap yang lebih tinggi,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan