AM

PULAU BANDING SEKALI LAGI CATAT SEJARAH, CIPTA REKOD BAHARU MBOR

13/05/2026 04:32 PM

IPOH, 13 Mei (Bernama) -- Hutan Hujan Belum-Temengor di Pulau Banding, Gerik sekali lagi mencatat sejarah apabila direkodkan sebagai The Most Trees Assessed In A Forest Health Monitoring Programme dengan jumlah keseluruhan 1,019 pokok berjaya dinilai dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Pulau Banding Foundation dalam kenyataan memaklumkan pengiktirafan itu dicapai menerusi program Eco Guardian Initiative Programme (eGIP) 2026 yang menghimpunkan lebih 250 sukarelawan mahasiswa daripada universiti awam, institut pengajian tinggi swasta serta mahasiswa antarabangsa dari Sri Lanka dan Indonesia di UMK-TRaCe, Pulau Banding.

“Kejayaan ini sekali gus menjadikan Pulau Banding sebagai lokasi pertama di Malaysia berjaya mencipta rekod MBOR bagi program berteraskan biodiversiti dan pemantauan hutan untuk dua tahun berturut-turut.

“Pada 2025, Pulau Banding turut mencatat sejarah menerusi pengiktirafan MBOR dalam kategori Most Biodiversity Species Identified In A Programme hasil penemuan dan identifikasi pelbagai spesies biodiversiti di landskap Royal Belum-Temengor,” menurut kenyataan itu.

Program eGIP 2026 anjuran bersama-sama Kementerian Pendidikan Tinggi menerusi Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) Jabatan Pengajian Tinggi (JPT), Majlis Sukarelawan Universiti Awam Malaysia, Universiti Malaysia Kelantan, Yayasan Perkasa Siswa dan Pulau Banding Foundation dengan sokongan Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia.

Pengarah BHEP JPT Hirman Awang berkata eGIP 2026 ialah platform penting dalam memperkukuh budaya kesukarelawanan dan kelestarian alam sekitar dalam kalangan mahasiswa.

“Pendekatan living laboratory di Royal Belum-Temengor memberi pengalaman lapangan sangat bernilai kepada mahasiswa untuk memahami realiti pemuliharaan biodiversiti dan kepentingan menjaga keseimbangan ekosistem negara.

“Lebih membanggakan, kejayaan mencipta rekod MBOR ini menunjukkan gerakan sukarelawan mahasiswa Malaysia mempunyai potensi besar untuk menghasilkan impak sebenar kepada alam sekitar dan masyarakat,” katanya.

Hirman berkata BHEP JPT akan menyalurkan geran khas sebanyak RM100,000 kepada 20 universiti awam iaitu RM5,000 setiap satu bagi memastikan kelangsungan eGIP sebagai program tahunan berimpak tinggi yang akan dilaksanakan secara giliran.

Dalam pada itu, Pengarah UMK-TRaCe Dr Muhammad Firdaus Abd Karim berkata kejayaan merekodkan 1,019 pokok dalam tempoh singkat membuktikan keberkesanan pendekatan pemantauan hutan berasaskan sukarelawan dan teknologi lapangan.

“Program ini bukan sahaja mencapai sasaran rekod kebangsaan, malah berjaya menghasilkan data lapangan yang signifikan untuk memahami tahap kesihatan hutan di landskap Royal Belum-Temengor.

“Hasil pemerhatian menunjukkan kawasan ini masih mempunyai tahap kesihatan ekologi yang baik dengan litupan kanopi dan keadaan tanah yang sesuai untuk menyokong biodiversiti tropika. Penemuan kehadiran pelbagai hidupan liar membuktikan kawasan ini kekal sebagai habitat penting biodiversiti negara,” katanya.

Antara data lapangan direkodkan sepanjang program termasuk ukuran diameter dan ketinggian pokok, keadaan batang, status spesies, bacaan pH tanah, kelembapan tanah, litupan kanopi, kehadiran kulat, pencemaran sampah serta penampakan fauna liar.

Hasil penemuan turut menyaksikan landskap Royal Belum-Temengor masih mengekalkan ciri ekologi yang baik dengan purata litupan kanopi sekitar 35.45 hingga 63.9 peratus serta purata bacaan pH tanah sekitar 6.5, sesuai bagi kebanyakan spesies hutan tropika.

Selain itu, pelbagai tanda kewujudan hidupan liar turut direkodkan termasuk burung, primata, rusa, reptilia dan kesan jejak haiwan yang membuktikan kawasan itu masih berfungsi sebagai habitat penting biodiversiti negara.

Sementara itu, Pengarah Urusetia Pelajar merangkap Ketua Sukarelawan Pelajar Nadhirah Mohd Noor Azman berkata penglibatan mahasiswa pelbagai universiti dan negara berjaya membentuk semangat kerjasama dan memupuk kesedaran terhadap kepentingan konservasi alam sekitar.

Penganjuran eGIP 2026 turut mendapat kerjasama Jabatan Perhutanan Perak, Perhilitan Perak, Tropical Rainforest Conservation and Research Centre (TRCRC), Belum Rainforest Resort, Jabatan Perikanan Perak, Majlis Daerah Gerik, Jabatan Kerja Raya Perak serta Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak.

Terlibat sama ialah Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Hospital Gerik, Pejabat Kesihatan Daerah, Tenaga Nasional Bhd (TNB), MBOR, Persatuan Arborist Malaysia serta penaja program Extra Joss.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan