BERITA TERGEMPAR   Over RM15 billion in financing support provided to micro, small and medium enterprises this year - MoF | 
 DUNIA

VANCE AKUI AS CAPAI KEMAJUAN DALAM RUNDINGAN DENGAN IRAN

14/05/2026 08:05 AM

WASHINGTON, 14 Mei (Bernama-Anadolu) -- Naib Presiden Amerika Syarikat JD Vance berkata pada Rabu bahawa Washington sedang “mencapai kemajuan” dalam rundingan dengan Iran sambil menegaskan garis merah Presiden Donald Trump bahawa Tehran tidak boleh sama sekali memiliki senjata nuklear.

Vance memberitahu pemberita bahawa beliau meluangkan banyak masa berbincang melalui telefon pada pagi itu dengan Jared Kushner, Steve Witkoff serta beberapa rakan Amerika Syarikat di dunia Arab, lapor Anadolu Ajansi.

“Saya fikir kami sedang mencapai kemajuan,” katanya ketika ditanya sama ada AS masih meneruskan rundingan dengan Iran selepas Trump menyifatkan respons Tehran sebagai “tidak boleh diterima sama sekali.”

Menurut Vance, persoalan utama ialah sama ada kemajuan yang dicapai mencukupi untuk memenuhi garis merah yang ditetapkan Trump.

“Garis merah itu sangat mudah. Presiden perlu yakin bahawa kami telah meletakkan beberapa perlindungan supaya Iran tidak akan memiliki senjata nuklear,” kata Vance.

Beliau berkata AS sebelum ini telah mencapai sedikit kemajuan di Pakistan, namun perkembangan yang dicapai selepas itu adalah lebih besar.

“Buat masa ini Presiden telah memilih laluan diplomatik dan itulah yang sedang saya tumpukan,” katanya.

Mengulas kenyataan Trump bahawa beliau tidak memikirkan “situasi kewangan rakyat Amerika” ketika berunding dengan Iran, Vance berkata kenyataan itu telah disalah tafsir.

“Saya bersetuju dengan Presiden. Iran tidak sepatutnya memiliki senjata nuklear. Kami kini terlibat dalam proses diplomatik yang sangat agresif dan aktif untuk memastikan perkara itu tidak berlaku,” katanya.

Vance berkata matlamat utama AS adalah memberi jaminan kepada rakyat negara itu bahawa Iran tidak akan memperoleh senjata nuklear, sambil menyifatkan pendekatan diplomatik semasa sebagai pilihan Trump buat masa ini.

Ketegangan di Asia Barat meningkat sejak AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Feb, yang mencetuskan tindak balas Tehran terhadap Israel serta sekutu AS di Teluk selain penutupan Selat Hormuz.

Gencatan senjata berkuat kuasa pada 8 April menerusi pengantaraan Pakistan, namun rundingan di Islamabad gagal menghasilkan perjanjian berkekalan. Gencatan senjata itu kemudiannya dilanjutkan oleh Trump tanpa tarikh akhir ditetapkan.

Pada Ahad, Iran menyerahkan responnya kepada Pakistan terhadap cadangan AS untuk menamatkan perang, namun Trump menolaknya dengan menyifatkannya sebagai “tidak boleh diterima sama sekali.”

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan