| BERITA TERGEMPAR | Over RM15 billion in financing support provided to micro, small and medium enterprises this year - MoF | |
PUTRAJAYA, 14 Mei (Bernama) -- Inisiatif Pengantaraan Komersial Pro Bono oleh Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) akan dilancarkan 18 Mei ini bagi memperkukuh akses rakyat kepada sistem keadilan yang lebih cepat, mudah diakses dan berkos efektif.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata inisiatif itu selaras dengan aspirasi penubuhan Pusat Mediasi MADANI (PMM).
Beliau berkata menerusi inisiatif itu, AIAC akan menyediakan khidmat pengantaraan secara percuma bagi menyelesaikan 26 jenis pertikaian komersial melibatkan nilai tuntutan RM250,000 dan ke bawah.
Azalina berkata skop pertikaian komersial berkenaan meliputi antaranya perkhidmatan, pembekalan, jual beli, perdagangan dan pemasaran, hartanah, syarikat dan perkongsian, e-dagang serta ekonomi digital.
"Bermula 18 Mei 2026, orang ramai boleh merujuk pertikaian komersial ini terus kepada AIAC atau dalam talian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata setakat ini sebanyak 170 pengantara tempatan dan antarabangsa telah menyatakan sokongan terhadap AIAC serta kesediaan mereka untuk mengendalikan proses mediasi pertikaian komersial secara percuma.
"Pendekatan ini dijangka memberikan manfaat penting khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), golongan usahawan dan penggiat industri termasuk industri kreatif serta rakyat yang berhadapan dengan pertikaian bernilai kecil," katanya.
Azalina berkata Jemaah Menteri semalam telah dimaklumkan mengenai aspirasi nasional penubuhan PMM bagi menyokong agenda Kerajaan MADANI dalam memperluas akses rakyat kepada sistem keadilan negara melalui mekanisme pengantaraan atau mediasi.
Bagi tujuan itu, beliau berkata PMM akan memainkan peranan penting dalam memperkasakan perkhidmatan pengantaraan di Malaysia secara bersasar dan holistik, khususnya dengan mempergiat usaha advokasi mengenai pengantaraan, memperkasakan kompetensi pengantara dalam negara, meningkatkan keyakinan rakyat terhadap mekanisme pengantaraan.
Beliau berkata langkah itu sekali gus menjalin kerjasama strategik bersama agensi dan institusi berkaitan secara inklusif.
-- BERNAMA
