BERITA TERGEMPAR   Over RM15 billion in financing support provided to micro, small and medium enterprises this year - MoF | 
 AM

PAHANG PERKUKUH SISTEM BEKALAN AIR, LAKSANA PENGGANTIAN LEBIH 600 KILOMETER PAIP USANG

14/05/2026 11:24 AM

KUANTAN, 14 Mei (Bernama) -- Kerajaan Pahang sedang giat melaksanakan projek penggantian paip usang melibatkan kos kira-kira RM290 juta, dengan sebanyak 94.3 daripada keseluruhan 607.3 kilometer (km) paip telah berjaya digantikan setakat ini. 

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata inisiatif berkenaan dilaksanakan antara lain bagi meningkatkan kualiti bekalan air dan mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW).

Beliau berkata usaha itu merupakan komitmen kerajaan negeri bermula 2022 dan akan terus dilaksanakan secara berfokus dan berperingkat sehingga 2031.

“Kita telah mengenal pasti 607.3 km paip berada pada tahap kritikal, usang dan mengalami kekerapan pecah yang tinggi dengan 94.3 km telah siap dilaksanakan kerja pengantian.

“Sepanjang 101 km paip masih dalam pembinaan manakala sepanjang 412 km lagi dalam pra-pembinaan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Hassanuddin Salim (PN-Kuala Semantan) yang ingin tahu jumlah keseluruhan panjang paip bekalan air lama dan uzur yang dikenal pasti serta perlu diganti di Pahang.

Sementara itu, Wan Rosdy memaklumkan Pahang ketika ini mempunyai keseluruhan rangkaian sistem agihan paip yang menjangkau kira-kira 15,000 km di seluruh negeri, meliputi kawasan bandar, luar bandar serta kawasan dengan bentuk muka bumi yang mencabar.

Selain itu, katanya, lebih 90 peratus masalah air di daerah Kuantan, Temerloh, Bentong dan Raub telah diselesaikan.

“Kerajaan negeri akan terus memperkukuhkan sistem bekalan air bagi memastikan penyampaian perkhidmatan air lebih cekap, stabil berkualiti dan memenuhi keperluan rakyat,” katanya. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan