BERITA TERGEMPAR   Over RM15 billion in financing support provided to micro, small and medium enterprises this year - MoF | 
 AM

DELEGASI SEKOLAH RINTIS BANGSA JOHOR RANGKUL ANUGERAH INOVASI IDEA TERBAIK DI JEPUN

14/05/2026 11:24 AM

JOHOR BAHRU, 14 Mei (Bernama) -- Delegasi Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota Puteri 2, Masai melakar sejarah apabila merangkul Anugerah Inovasi Idea Terbaik di Sidang Kemuncak Belia Jepun dan Program Pendedahan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Antarabangsa di Universiti Osaka Kyoiku, Jepun.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin berkata pertandingan menghimpunkan 12 delegasi antarabangsa termasuk Amerika Syarikat, China, Kanada dan Hong Kong, berlangsung selama empat hari bermula Isnin lepas.

“Projek ini merupakan inovasi krayon mesra alam berasaskan minyak masak terpakai dan pewarna semula jadi yang dibangunkan khas bagi menyokong terapi sensori kanak-kanak autisme melalui pendekatan pendidikan STEM yang inklusif dan lestari,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Aznan berkata pasukan itu dianggotai pelajar tingkatan tiga hingga lima, iaitu Farhah Azra Abdul Rahim, Muhammad Darwish Dhani Darmawi dan Shreeniithi mengetengahkan projek bertajuk “Craytion” di bawah bimbingan guru C Yogeshwari.

Lebih membanggakan, beliau berkata “Craytion” bukan sahaja memenuhi elemen kreativiti dan teknologi, tetapi juga membawa mesej besar berkaitan kelestarian alam sekitar, pendidikan inklusif serta kesejahteraan komuniti selaras dengan  Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4, 11 dan 12. 

“Ini membuktikan anak Johor bukan sekadar mampu mencipta inovasi, tetapi mampu menghasilkan solusi yang memberi impak sebenar kepada masyarakat dunia,” katanya.

Aznan berkata kejayaan itu didorong sokongan pelbagai pihak termasuk Jabatan Pendidikan Negeri Johor, kerajaan negeri serta Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor yang telah menyalurkan dana RM10,000 bagi tujuan latihan intensif dan persediaan pertandingan.

Selain itu, beliau berkata delegasi diketuai pengetua sekolah itu Siti Norbayah Jema'at turut melawat Kyoto University of Education bagi mendalami pendekatan pendidikan STEM dan pembelajaran berasaskan inkuiri, yang menjadi antara amalan utama sistem pendidikan bertaraf dunia. 

“Pendedahan ini mampu memperkukuh budaya inovasi dan pemikiran global dalam kalangan pelajar selaras agenda pembangunan modal insan negeri,” katanya. 

Menerusi hantaran itu, Aznan menjunjung kasih kepada Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail atas cetusan idea dan ilham SRBJ serta keprihatinan baginda dalam pendidikan Johor selain berterima kasih terhadap Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan di negeri itu.

“Kejayaan ini membuktikan pelaburan kita dalam agenda pendidikan SRBJ, STEM dan pembangunan bakat anak muda berada di landasan tepat demi melahirkan generasi depan Johor yang kompeten, progresif dan disegani pada peringkat antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan