BERITA TERGEMPAR   Over RM15 billion in financing support provided to micro, small and medium enterprises this year - MoF | 
 AM

SARAWAK ANJUR EDISI KETIGA SMEC 2026 SEMPENA HAWANA PADA JULAI INI

14/05/2026 05:26 PM

KUCHING, 14 Mei (Bernama) -- Kerajaan Sarawak akan mengadakan Persidangan Media Sarawak 2026 (SMeC 2026) bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional 2026 (HAWANA 2026) pada penghujung Julai ini, dengan penekanan kepada bengkel interaktif melibatkan golongan belia dan penggiat media.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata persidangan edisi ketiga yang berlangsung selama sehari itu dijadual dirasmikan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Sebelum ini kita adakan SMeC selama dua hari tetapi tahun ini ia berlangsung selama sehari melibatkan persidangan diikuti bengkel yang akan diadakan di Centre for Technology Excellence Sarawak (CENTEXS) dan Tegas Digital Village, di sini.

“Kali ini kita buat workshop (bengkel) melibatkan belia, pelajar universiti dan sebagainya… bengkel lain antaranya berkaitan kecerdasan buatan (AI), digitalisasi media, tadbir urus, etika, kawal selia serta keusahawanan dalam industri media,” katanya pada sidang media bersempena dengan penyerahan insentif khas kepada persatuan media Sarawak di bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak, hari ini.

Abdullah berkata sambutan HAWANA 2026 peringkat negeri itu kemudiannya akan diteruskan dengan majlis makan malam sebagai acara kemuncak tahunan bagi menghargai pengamal media di negeri ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan insentif khas melibatkan jumlah keseluruhan RM317,800 kepada enam persatuan wartawan di Sarawak antaranya Persatuan Wartawan Bahagian Kuching, Pertubuhan Wartawan Bebas Kuching dan Persatuan Wartawan Sibu. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan