BERITA TERGEMPAR   Over RM15 billion in financing support provided to micro, small and medium enterprises this year - MoF | 
 AM

KKDW PERKASA PENDIGITALAN BANTU USAHAWAN DEPANI KRISIS BEKALAN GLOBAL

14/05/2026 05:48 PM

KLANG,14 Mei (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mempergiat program pendigitalan dan pembangunan teknologi dalam kalangan usahawan desa sebagai langkah membantu mereka mendepani cabaran krisis bekalan global ketika ini.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata pendekatan itu dilaksanakan bagi memastikan usahawan di bawah agensi kementerian, termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA) dapat meningkatkan produktiviti, memperluas pasaran dan menyesuaikan operasi perniagaan dengan perkembangan teknologi semasa.

“Kita memperbanyakkan lagi program pendigitalan supaya dengan kemahiran baharu yang diperoleh, usahawan bukan sahaja dapat meningkatkan pengeluaran tetapi juga memperluaskan pasaran mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Wanita Cukup Berani Tahun 2026 Kolaborasi KEMAS dan Wanita Hari Ini (TV3) di Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) KEMAS Klang, hari ini.

Rubiah berkata selain latihan dan bimbingan, KKDW turut menyediakan bantuan pembiayaan kepada usahawan termasuk menerusi Skim Pembiayaan Perniagaan Khas Wanita (Dana NITA) yang memperuntukkan kira-kira RM90 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan diteruskan dalam RMK-13.

Selain itu, beliau berkata KKDW melalui MARA dan agensi berkaitan turut membantu usahawan dengan menyediakan premis perniagaan serta kilang pada kadar sewaan lebih rendah, termasuk pengurangan hingga 20 peratus.

Malah, Rubiah berkata usahawan yang pernah menerima pembiayaan MARA sebelum ini boleh membuat semakan semula pinjaman mengikut kemampuan kewangan semasa masing-masing.

“Mereka boleh datang semula ke MARA untuk review pinjaman, memanjangkan tempoh bayaran dan membuat pembayaran berdasarkan kemampuan semasa.

“Langkah ini telah dilaksanakan oleh semua agensi di bawah KKDW dan menerima respons positif daripada usahawan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan