WASHINGTON, 15 Mei (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Jumaat berkata beliau berharap hubungan antara AS dan China akan menjadi lebih kukuh berbanding sebelum ini susulan pertemuannya dengan Presiden China Xi Jinping di Beijing, lapor Anadolu Ajansi.
Trump turut menepis kenyataan Xi yang dilihat menggambarkan AS sebagai “negara yang sedang merosot”, dengan alasan bahawa kritikan itu merujuk kepada pentadbiran terdahulu di bawah bekas Presiden Joe Biden dan bukan pemerintahannya ketika ini.
“Apabila Presiden Xi secara penuh berhemah merujuk Amerika Syarikat sebagai sebuah negara yang mungkin sedang merosot, beliau sebenarnya merujuk kepada kerosakan besar yang kami alami sepanjang empat tahun di bawah Sleepy Joe Biden dan pentadbiran Biden, dan dalam hal itu, beliau 100 peratus benar,” kata beliau menerusi platform media sosial Truth Social.
Trump menyalahkan pentadbiran Biden atas apa yang disifatkannya sebagai kelemahan ekonomi, masalah imigresen, jenayah dan dasar sosial yang ditentangnya termasuk inisiatif kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman (DEI).
Pada masa sama, beliau menggambarkan pentadbirannya sebagai telah memulihkan kekuatan ekonomi dan ketenteraan AS sepanjang tempoh yang disifatkannya “16 bulan yang luar biasa” sejak kembali memegang jawatan.
Trump berkata prestasi pasaran saham yang mencatat rekod baharu, angka pekerjaan yang kukuh, peningkatan pelaburan asing dan kejayaan ketenteraan di luar negara menjadi bukti kebangkitan semula kuasa AS.
“Malah, Presiden Xi mengucapkan tahniah kepada saya atas begitu banyak kejayaan besar dalam tempoh yang singkat.
“Dua tahun lalu, kita sememangnya sebuah negara yang sedang merosot. Dalam hal itu, saya sepenuhnya bersetuju dengan Presiden Xi. Tetapi kini, Amerika Syarikat ialah negara paling hebat di dunia,” kata Trump.
Trump turut menekankan hubungan yang semakin baik dengan Beijing selepas pertemuannya bersama Xi.
“Diharapkan hubungan kami dengan China akan menjadi lebih kuat dan lebih baik berbanding sebelum ini,” kata beliau.
-- BERNAMA-ANADOLU
