KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Ketua Khidmat Pengurusan dan Kewangan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Sharifah Zaini Syed Zain dilantik sebagai Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bernama (Benita) bagi sesi 2026/2028.
Pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Benita yang berlangsung di Wisma Bernama hari ini, turut menyaksikan Timbalan Editor Eksekutif I Perkhidmatan Berita, Sh Nur Shahrizad Sy Mohamed Sharer dilantik Timbalan Pengerusi, manakala Pengurus Rancangan Bernama Radio Nas Zamimi Nasbah menggalas tanggungjawab Setiausaha sementara Pembantu Tadbir di Pusat Kecemerlangan Bernama Yasmin Yusof sebagai Penolong Setiausaha.
Penolong Pengurus di Bahagian Perkhidmatan Langganan Jabatan Komersial Haidazira Manan pula dilantik semula sebagai Bendahari.
Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin ketika mengumumkan barisan kepimpinan tertinggi Benita berkata pelantikan itu dibuat bagi memastikan persatuan berkenaan terus bergerak aktif serta memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan anggotanya.
“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua ahli jawatankuasa sesi 2024/2026 yang berjaya menganjurkan pelbagai aktiviti dan program, termasuk sambutan Hari Wanita, majlis meraikan ahli, program Tadarus dan Khatam al-Quran, serta projek murni sumbangan Sepatu Raya untuk anak-anak yatim.
“Untuk masa hadapan, saya menggalakkan penganjuran lebih banyak program berimpak tinggi dan inklusif. Benita juga boleh mengadakan aktiviti lebih santai bagi menarik penyertaan ramai ahli, contohnya sesi menonton wayang bersama, demonstrasi memasak dan aktiviti riadah yang boleh disertai semua peringkat umur ahli,” katanya ketika berucap pada AGM Benita itu.
Nur-ul Afida yang juga Penasihat Benita berkata persatuan itu perlu terus memberi fokus kepada pembangunan kepimpinan wanita, latihan kemahiran, pengasahan bakat dan kesejahteraan mental ahli.
Beliau berkata walaupun keanggotaan Benita meningkat setiap tahun dengan lebih 300 ahli daripada pelbagai jabatan setakat ini, penyertaan khususnya dalam kalangan isteri kakitangan lelaki masih rendah.
Beliau turut memberi jaminan bahawa pihak pengurusan Bernama akan terus menyokong aktiviti Benita, namun memaklumkan penganjuran program berskala besar tidak dapat dilakukan buat masa ini berikutan langkah penjimatan kerajaan susulan krisis bekalan global.
Turut hadir pada AGM itu ialah Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Harlina Samson, Ketua Jabatan Komersial Mastura Hassan dan bekas Pengerusi Benita Datin Rohana Mustaffa.
-- BERNAMA
