AM

LAPAN PELAN TINDAKAN SEMENTARA TANGANI KESESAKAN KONTENA TELUK SEPANGGAR - EWON

15/05/2026 06:38 PM

KOTA KINABALU, 15 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sabah meluluskan lapan pelan tindakan sementara dan dua inisiatif baharu, bagi menangani isu kesesakan di Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar (SBCP).

Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah Datuk Ewon Benedick berkata antara pelan tindakan itu, termasuk menyediakan kawasan tambahan seluas satu hektar bagi penyimpanan kontena.

Selain itu, Timbalan Ketua Menteri III itu berkata pelan lain termasuklah melaksanakan kadar tarif baharu dan pengurangan tempoh simpanan percuma kontena semasa musim puncak daripada lima hari kepada tiga hari.

“Pelaksanaan ini akan dinilai semula selepas tempoh tiga bulan, bagi memastikan keberkesanannya kepada semua pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ewon berkata Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia juga sedang menyelaras prosedur operasi standard berkaitan pelupusan dan pelelongan kontena lebih tempoh, khususnya kontena yang berada di pelabuhan melebihi 21 hari serta barangan mudah rosak melebihi 24 jam.

Beliau berkata semua agensi kerajaan yang berkaitan juga bersetuju dan menyokong pelaksanaan operasi 24 jam termasuk cuti am, tertakluk kepada pemakluman awal dan permohonan yang dikemukakan selaras dengan tatacara dalam Pekeliling Pelabuhan LPPS Bil. 02/2026 bertarikh 28 April.

Ewon berkata bagi penyelesaian jangka panjang, LPPS turut mengemukakan permohonan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia, iaitu pemeriksaan dan pelepasan kargo dijalankan sepenuhnya secara 24 jam setiap hari di SBCP.

“Pada 1 April juga telah diwajibkan pelaksanaan Vehicle Booking System (VBS) kepada semua pengendali lori, bagi mengawal kemasukan lori secara berjadual untuk mengurangkan kesesakan di pintu masuk pelabuhan tanpa dikenakan sebarang caj,” katanya.

Ewon berkata operator pelabuhan DPW Sabah juga sedang mengambil langkah proaktif untuk menaik taraf peralatan pengendali kontena melalui penyewaan dua buah Reach Stackers yang kini telah beroperasi, penyewaan lima Internal Transfer Vehicles (ITVs) yang dijangka tiba pada Jun depan dan tambahan tujuh Internal Transfer Vehicles (ITVs) pada suku keempat tahun ini.

Selain itu, perolehan tambahan 10 Rubber Tyred Gantry Crane (RTG) iaitu empat RTG akan tiba apabila projek pembesaran SBCP telah tersedia dan enam RTG lagi, apabila keseluruhan projek pembesaran SBCP siap sepenuhnya yang dijangka pada suku keempat tahun hadapan.

Di samping itu, pihak Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) juga sedang menyiapkan tapak parkir treler di KKIP, bagi membantu melancarkan pergerakan treler dan kontena semasa waktu luar puncak.

Sementara itu, dua inisiatif baharu iaitu pemindahan sementara operasi RORO daripada Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar ke Pelabuhan Kota Kinabalu berkuat kuasa semalam, manakala pelaksanaan Berthing Window Programme berkuat kuasa 22 Mei.

Ewon berkata pemindahan operasi RORO itu akan dijangka meningkatkan kapasiti pemunggahan kontena di dermaga sebanyak 20 peratus.

Manakala pelaksanaan Berthing Window Programme oleh DPW Sabah ialah kaedah penjadualan kapal untuk berlabuh berdasarkan slot masa yang ditetapkan awal, yang akan mengurangkan kesesakan kapal di perairan.

“Bagi memastikan pelaksanaan semua pelan tindakan ini dipantau secara menyeluruh dan berkesan, satu pasukan petugas telah ditubuhkan dan dipengerusikan sendiri oleh Menteri MINDET,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan