AM

ANGGOTA, RAKAN BRICS PERLU BEKERJASAMA TANGANI CABARAN GLOBAL

15/05/2026 08:16 PM

Daripada  Mohd Khairi Idham Amran

NEW DELHI, 15 Mei (Bernama) -- Negara anggota dan rakan BRICS perlu bekerjasama secara kolektif bagi menangani cabaran global serta membentuk susunan antarabangsa yang lebih demokratik, inklusif dan saksama, kata Menteri Luar India, Subrahmanyam Jaishankar.

Beliau berkata gesaan untuk memperkukuh kerjasama itu dibuat susulan kebimbangan terhadap keberkesanan struktur tadbir urus global sedia ada dalam mendepani dunia yang semakin kompleks dan bersifat multipolar.

“Dunia hari ini jauh lebih saling berhubung, kompleks dan multipolar berbanding ketika banyak institusi diwujudkan, namun struktur yang menjadi asas tadbir urus global tidak bergerak seiring perubahan ini,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Menteri Luar Negara Rakan BRICS 2026 di sini, hari ini.

Beliau berkata rangka kerja multilateral kini berdepan tekanan yang semakin meningkat susulan kemerosotan tahap kepercayaan serta ketidakcekapan dalam proses membuat keputusan.

Katanya negara BRICS dan rakan kerjasama mempunyai tanggungjawab untuk memperjuangkan sistem tadbir urus global yang lebih inklusif, berperwakilan dan responsif.

“Pembaharuan bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan. Adalah penting untuk memastikan multilateralisme terus relevan dan berkesan dalam menangani cabaran semasa,” katanya.

Subrahmanyam turut menggesa pembaharuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta badan bawahannya selaras dengan peningkatan ketara keanggotaan dan tanggungjawab organisasi itu.

“Namun, struktur utama khususnya Majlis Keselamatan masih mencerminkan era terdahulu tanpa pembaharuan bermakna, termasuk perluasan dalam kategori anggota tetap dan tidak tetap.

“Keberkesanan dan kredibiliti PBB akan terus terhad sekiranya perkara ini tidak diperbaiki. Perwakilan Asia, Afrika dan Amerika Latin amat penting,” katanya.

Mesyuarat dua hari yang bermula semalam itu menjadi platform penting sebagai persediaan menjelang Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS yang dijadual berlangsung pada 12 dan 13 Sept ini.

India secara rasmi memegang jawatan pengerusi BRICS bermula 1 Jan 2026, menggantikan Brazil, dengan tema “Membina Ketahanan, Inovasi, Kerjasama dan Kemampanan” berteraskan rangka kerja menyeluruh “Kemanusiaan Didahulukan”.

BRICS dianggotai Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan, Mesir, Ethiopia, Iran, Emiriah Arab Bersatu dan Indonesia, manakala Malaysia bersama Belarus, Bolivia, Cuba, Kazakhstan, Thailand, Uganda dan Uzbekistan menjadi Negara Rakan BRICS bermula 1 Jan 2025.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan