EKONOMI

RHB IB, KENANGA IB KEKALKAN UNJURAN PERTUMBUHAN KDNK MALAYSIA BAGI 2026

15/05/2026 08:40 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- RHB Investment Bank Bhd mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2026 pada 4.7 peratus, dengan cenderung untuk meningkat ke arah lima peratus susulan prestasi lebih kukuh daripada jangkaan pada suku pertama 2026.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, RHB IB memaklumkan model autoregresi yang telah disemak semula serta penilaian indeks pelopornya terus menunjukkan pertumbuhan KDNK pada 4.7 peratus hingga 5.3 peratus pada suku kedua 2026.

Ini sekali gus membayangkan momentum pertumbuhan semasa berkemungkinan besar akan terus mampan pada suku tahun akan datang meskipun terdapat peningkatan premium risiko geopolitik.

Ia menyatakan pertumbuhan akan disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan dan prestasi eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang mengukuh.

"Penggunaan swasta dijangka kekal kukuh, disokong oleh pasaran buruh yang sihat, pertumbuhan pendapatan yang berterusan dan pelarasan gaji penjawat awam.

"Pelaburan swasta diunjurkan kekal teguh, dipacu oleh pelancaran projek-projek infrastruktur, pembangunan pusat data dan pengembangan berterusan dalam sektor pembuatan," tambahnya.

Di peringkat sektor, RHB IB memaklumkan sektor perkhidmatan dan pembinaan dijangka mendapat manfaat daripada permintaan domestik yang teguh dan dasar kerajaan yang menyokong, manakala sektor pembuatan kekal berada pada trajektori yang positif disokong oleh permintaan global yang mampan terhadap E&E dan ekonomi domestik yang kukuh.

Bagaimanapun, terdapat sedikit sensitiviti terhadap perkembangan luaran dan pergerakan kos input, tambahnya.

Mengenai dasar monetari, RHB menjangkakan kadar dasar semalaman (OPR) kekal tidak berubah pada 2.75 peratus untuk 2026, walaupun kenaikan kadar sebanyak 25 mata asas tidak boleh ditolak sekiranya inflasi didapati lebih tinggi dan lebih tidak menentu daripada yang dijangkakan.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) turut mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK pada 4.5 peratus tetapi memberi amaran tentang peningkatan risiko penurunan terhadap pertumbuhan pada separuh kedua 2026.

Ia menyatakan risiko luaran dijangka semakin merebak ke dalam ekonomi domestik, didorong oleh tekanan harga yang lebih tinggi dan gangguan bekalan yang berterusan.

"Walaupun prospek jangka pendek kekal kukuh dengan pertumbuhan berkemungkinan kekal di atas lima peratus, disokong oleh aktiviti pengumpulan stok dan permintaan domestik yang berdaya tahan, risiko menjelang suku kedua 2026 adalah cenderung ke arah penurunan.

"Kesan pusingan kedua daripada harga tenaga yang tinggi, kejutan bekalan dan tekanan kos yang lebih luas boleh menghakis kuasa beli isi rumah hingga membantutkan sentimen pengguna," tambah Kenanga IB dalam nota penyelidikannya hari ini.

Bagaimanapun, di sebalik cabaran itu, ia menjangkakan pertumbuhan kekal dipacu oleh sektor yang berorientasikan domestik terutamanya penggunaan swasta dan perbelanjaan awam, disokong pula oleh keadaan pasaran buruh yang kukuh, pertumbuhan pendapatan yang stabil dan sokongan fiskal bersasar yang berterusan.

"Walaupun persekitaran luaran menjadi lebih mencabar dengan kadar faedah global yang dijangka kekal lebih tinggi untuk tempoh lebih lama, pertumbuhan global yang lebih perlahan, ketegangan geopolitik, pertikaian tarif dan harga komoditi yang tidak menentu, kami menjangkakan kesan negatif terhadap Malaysia akan kekal terurus.

"Asas eksport Malaysia yang pelbagai sepatutnya mengehadkan kesan negatif tersebut, dengan sektor E&E terus bertindak sebagai penampan," tambahnya.

Kenanga IB juga menjangkakan Bank Negara Malaysia akan mengekalkan OPR pada 2.75 peratus sepanjang 2026 di sebalik peningkatan risiko inflasi, sambil menyatakan pengetatan monetari adalah kurang berkesan dalam menangani inflasi yang dipacu oleh faktor bekalan dan sebaliknya boleh memburukkan lagi tekanan kos terhadap isi rumah dan syarikat.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan