KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik bersempena dengan sambutan Hari Guru 2026.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata di sebalik kejayaan seseorang sama ada sebagai doktor, jurutera, usahawan, pemimpin atau individu berjaya, pasti ada guru yang sabar mendidik dan membentuk peribadi mereka.
“Seorang guru mungkin tidak selalu disebut namanya, tetapi jasanya sentiasa terpahat dalam kehidupan anak-anak didiknya.
“Dalam tegasnya ada kasih, dalam penatnya ada tanggungjawab dan dalam setiap ilmu yang dicurahkan, ada harapan besar untuk melihat anak bangsa berjaya,” katanya.
Ahmad Zahid berkata tema sambutan Hari Guru 2026, “Guru Bitara Nadi Negara”, mencerminkan penghargaan terhadap pengorbanan dan keikhlasan warga pendidik dalam membentuk generasi masa depan negara.
“Para guru merupakan nadi yang menggerakkan kekuatan ilmu dan mencorakkan masa depan bangsa. Tanpa guru, tidak akan lahir generasi yang berilmu, beradab dan mampu memimpin negara ke arah lebih baik,” katanya.
Sementara itu, bandar raya Ipoh, Perak menjadi tuan rumah sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-55 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.
Sementara itu, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik atas jasa, pengorbanan dan dedikasi mereka dalam mendidik serta membentuk generasi masa depan negara.
Menerusi hantaran di Facebook bersempena dengan Hari Guru 2026 esok, beliau berkata tema “Guru Bitara Nadi Negara” amat bertepatan dalam menggambarkan peranan besar guru sebagai tunjang kekuatan negara.
“Guru bukan sahaja menyampaikan ilmu di bilik darjah, malah menjadi pembimbing, pembentuk sahsiah dan pencetus harapan kepada setiap anak bangsa untuk mencapai kejayaan,” katanya.
Ramanan berkata di sebalik setiap individu berjaya, pasti ada seorang guru yang pernah mendidik, membimbing dan memberi semangat tanpa mengenal penat lelah.
“Saya amat menghargai komitmen dan kesungguhan para guru yang terus berkhidmat dengan penuh keikhlasan walaupun berdepan pelbagai cabaran dalam dunia pendidikan yang semakin berkembang.
“Sesungguhnya jasa dan pengorbanan guru tidak mampu dibalas dengan kata-kata. Namun, seluruh rakyat Malaysia pastinya sentiasa menghargai segala usaha dan bakti yang telah dicurahkan demi masa depan anak-anak dan kemajuan negara,” katanya.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik khususnya guru dan penolong guru di Taska serta Tabika Perpaduan di bawah kementerian itu.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata tema sambutan tahun ini, “Guru Bitara, Nadi Negara” amat bertepatan dalam mengiktiraf peranan besar pendidik sebagai pencetus ilmu, pembina sahsiah dan penggerak masa depan negara bangsa.
Beliau berkata dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia, peranan guru di Taska dan Tabika Perpaduan amat signifikan kerana mereka antara individu terawal yang memperkenal erti kebersamaan, kepelbagaian budaya serta keharmonian kepada kanak-kanak.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua guru dan penolong guru yang sentiasa komited, sabar dan ikhlas mendidik anak bangsa tanpa mengenal penat lelah,” katanya yang turut mengucapkan Selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik di Malaysia.
Dalam pada itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata Majlis Anugerah Hari Guru peringkat kebangsaan hari ini bukan sekadar meraikan pencapaian, malah mengiktiraf kecemerlangan dan sumbangan pendidik yang menjadi nadi utama pembentukan generasi masa hadapan negara.
Beliau berkata majlis itu mengiktiraf kebitaraan guru dalam 31 kategori termasuk STEM, teknologi dan digital, pendidikan khas, sukan, kepimpinan serta kesukarelawanan.
“Mereka telah melakar pelbagai kecemerlangan serta memberikan sumbangan bermakna dalam landskap pendidikan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Fadhlina berkata seorang guru cemerlang tidak hanya diukur melalui pencapaian akademik murid, tetapi juga keupayaan membentuk insan yang beradab, berakhlak, berdaya tahan serta mampu menyumbang kepada masyarakat.
Memetik kecemerlangan Dr Velerie Wheelervon Primus, ia memperlihatkan makna sebenar pendidikan yang memanusiakan insan menerusi perjuangannya dalam pendidikan inklusif, kesejahteraan emosi murid dan pembangunan komuniti luar bandar, katanya.
“Semua dilakukan demi pendidikan yang lebih inklusif untuk anak-anak Malaysia. Setiap guru adalah wira barisan hadapan pendidikan negara. Setiap usaha mereka membawa makna besar kepada masyarakat dan negara,” katanya.
-- BERNAMA
