Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives menamatkan penurunan selama tiga hari berturut-turut untuk ditutup lebih tinggi pada Jumaat, disokong oleh harga minyak mentah yang lebih kukuh, kata seorang peniaga.
Peniaga Proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata harga minyak mentah yang lebih tinggi telah melonjakkan harga minyak sawit, memandangkan penggunaan meluas minyak sawit sebagai bahan mentah biodiesel.
Beliau berkata sentimen pasaran turut disokong oleh kenaikan harga minyak soya di Lembaga Perdagangan Chicago.
“Kenaikan harga minyak soya menyokong MSM, memandangkan kedua-duanya adalah minyak sayuran utama bersaing dalam pasaran minyak boleh makan global.
“Kami mengesan paras sokongan di atas RM4,300 satu tan metrik dengan paras rintangan pada RM4,500 setan, katanya kepada Bernama.
Ketika berita ini ditulis, minyak mentah Brent naik 2.49 peratus kepada US$108.30 setong (US$1=RM3.93).
Pada penutupan, kontrak Mei 2026 naik RM30 kepada RM4,380 satu tan, Jun 2026 meningkat RM28 kepada RM4,390 setan dan Julai 2026 melonjak RM27 kepada RM4,420 satu tan.
Ogos 2026 menambah RM28 kepada RM4,437 setan, September 2026 menambah RM21 kepada RM4,449 satu tan dan Oktober 2026 naik RM17 kepada RM4,465 setan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 98,554 lot daripada 93,138 lot pada Khamis, manakala kepentingan terbuka naik kepada 285,554 kontrak daripada 285,504 kontrak sebelum ini.
Harga MSM fizikal untuk Mei Selatan melonjak RM20 kepada RM4,440 satu tan.
-- BERNAMA
