SUKAN

PENANG FC TAMAT KEMARAU LAPAN PERLAWANAN TANPA KEMENANGAN

15/05/2026 10:23 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Penang FC menutup kempen Liga Super 2025/2026 dengan  kemenangan 2-1 ke atas DPMM FC dalam aksi terakhir liga di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang hari ini.

Kemenangan di gelanggang sendiri itu sekali gus menamatkan kemarau lapan perlawanan tanpa kemenangan skuad Harimau Kumbang, yang kali terakhir meraih tiga mata ketika menewaskan Kuala Lumpur City FC 1-0 pada Januari lepas.

Pada perlawanan itu, DPMM FC terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Jordan David Murray pada minit ke-41 hasil hantaran Ibrahim Sulley untuk memberikan kelebihan 1-0 kepada pelawat pada babak pertama

Bersambung separuh masa kedua, Penang FC bangkit menyamakan kedudukan menerusi rembatan Dylan Wenzel-Halls pada minit ke-58 sebelum kapten pasukan, Stefano Brundo muncul wira apabila menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-83.

Keputusan itu menyaksikan Penang FC menamatkan saingan di tangga kelapan liga dengan 25 mata, manakala DPMM FC berada di kedudukan ke-10 selepas mengutip 23 mata.

Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Terengganu FC menutup musim Liga Super dengan kemenangan 1-0 ke atas Sabah FC hasil jaringan tunggal pemain gantian Shervoni Mabatshoev pada minit ke-81.

Lebih 3,000 penonton di stadium itu kemudian memberikan tepukan penghormatan kepada penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat selepas tamat perlawanan sebagai  tanda penghormatan atas khidmatnya bersama Sabah FC sejak 2022.

Untuk rekod, Terengganu FC menamatkan musim di tangga kelima dengan 36 mata selepas 24 perlawanan, manakala Sabah FC di kedudukan kesembilan dengan 23 mata.

– BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan