BALIK PULAU, 15 Mei (Bernama) -- Sebanyak 15,822 anak penyu berjaya dilepaskan semula ke laut di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Pantai Kerachut, dekat sini sejak 2021 hingga April lepas, hasil usaha konservasi berterusan yang dilaksanakan di kawasan berkenaan.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata dalam tempoh sama, sebanyak 273 kali pendaratan ibu penyu direkodkan manakala 24,357 biji telur penyu berjaya dikumpulkan di pusat konservasi yang terletak dalam kawasan Taman Negara Pulau Pinang.
Beliau berkata kejayaan itu membuktikan usaha pemuliharaan biodiversiti marin di Pulau Pinang mampu dilaksanakan secara konsisten walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk pencemaran dan pembangunan pesisir pantai.
''Penyu merupakan permata alam yang mempunyai nilai ekologi, pelancongan dan pendidikan amat tinggi kepada Pulau Pinang khususnya dalam memperkukuh agenda ekopelancongan negeri.
''Kerajaan negeri percaya pembangunan dan konservasi tidak boleh bergerak secara berasingan kerana negeri perlu terus maju, namun pada masa sama keseimbangan alam sekitar mesti dipelihara agar warisan semula jadi seperti penyu tidak pupus,'' katanya kepada pemberita di sini malam ini.
Beliau ditemui selepas program pelepasan anak penyu bersempena dengan Jelajah CM Chow di Pantai Keracut di sini, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa, Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri Datuk Rashidi Zinol dan Pengarah Perikanan Pulau Pinang Azimah Jumatli.
Chow berkata kawasan pantai di bahagian barat Pulau Pinang seperti Pantai Teluk Bahang, Pantai Teluk Ketapang, Pantai Kerachut dan Pantai Teluk Kampi dikenal pasti sebagai kawasan utama pendaratan penyu jenis Agar dan Lipas.
Beliau berkata kawasan itu juga merupakan habitat sensitif yang masih bebas daripada gangguan pencahayaan berlebihan serta pencemaran bunyi yang boleh mengganggu proses pendaratan dan penetasan penyu.
"Tahun 2023 merekodkan pencapaian tertinggi konservasi penyu apabila sebanyak 79 pendaratan ibu penyu direkodkan dengan 7,130 biji telur berjaya dikumpulkan. Daripada jumlah itu, sebanyak 5,168 ekor anak penyu berjaya menetas dan dilepaskan semula ke habitat asalnya.
''Bagi 2025 pula sebanyak 67 pendaratan ibu penyu direkodkan dengan 6,470 biji telur berjaya dikumpulkan dan 4,586 ekor anak penyu dilepaskan ke laut,'' katanya.
Beliau berkata statistik pelawat ke pusat konservasi tersebut turut menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila sebanyak 154,302 pengunjung direkodkan dari 2021 hingga April lepas dan jumlah itu melibatkan 109,351 pelawat tempatan dan 44,951 pelawat antarabangsa.
Menurutnya, peningkatan jumlah pelawat itu membuktikan usaha konservasi bukan sahaja penting dari sudut pemuliharaan biodiversiti, malah mampu memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan, pendidikan dan ekonomi setempat.
-- BERNAMA
