KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan dan kotak makanan kepada pesakit kanser payudara tahap empat Juliana Nasruddin di Balok Makmur, Kuantan, Pahang.
Sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi ketika siri jelajah Ziarah MADANI Indera Mahkota.
Menerusi hantaran di Facebook yang turut dikongsikan Anwar hari ini, Ahmad Farhan berkata sumbangan itu sebagai tanda keprihatinan Perdana Menteri terhadap Juliana yang sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan dan keluarganya.
“Beliau tabah membesarkan lima anak bersama suami yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan demi menyara keluarga.
“Dalam keadaan diuji dengan masalah kesihatan, keluarga ini juga berdepan bil tertunggak dan saya mengambil inisiatif memberikan sumbangan bagi membantu meringankan beban yang ditanggung,” katanya.
Beliau turut menyampaikan sumbangan mewakili Perdana Menteri selain mendoakan agar Juliana terus diberikan kekuatan, dipermudah segala urusan, dikurniakan kesembuhan serta keluarganya sentiasa berada dalam rahmat dan perlindungan Allah SWT.
-- BERNAMA
