Oleh Nabilah Saleh
KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Inisiatif baharu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu i-Legasi dilihat berpotensi menjadi penyelesaian penting kepada golongan generasi sandwic di Malaysia yang berdepan tekanan kewangan akibat perlu menyara ibu bapa warga emas pada masa sama membesarkan anak-anak.
Generasi sandwic merujuk kepada individu yang berada di antara dua generasi yang memerlukan perhatian dan sokongan, iaitu menjaga serta menyara ibu bapa yang semakin tua, sambil pada masa sama menguruskan anak-anak yang masih bergantung kepada mereka.
Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat serta jangka hayat penduduk yang lebih panjang, kemudahan itu membolehkan ahli memindahkan sebahagian simpanan persaraan kepada ahli keluarga terdekat, sekali gus menjadikan simpanan persaraan sebagai instrumen sokongan kewangan antara generasi.
Bagi pekerja sektor swasta, Nuraimi Syafazawana Abd Rahim, 41, yang menanggung ibu bapanya di kampung sambil membesarkan tiga anak kecil, tekanan kewangan merupakan cabaran berterusan terutama ketika berlaku kecemasan keluarga.
“Bukan kita tidak mahu menyimpan, tetapi banyak komitmen segera perlu diutamakan. Adanya kemudahan yang membantu keluarga merancang masa depan bersama adalah langkah yang sangat positif,” katanya kepada Bernama.
Di bawah inisiatif i-Legasi, ahli KWSP berusia 55 tahun ke atas boleh memindahkan sebahagian simpanan kepada pasangan atau anak bagi memperkukuh jaminan kewangan antara generasi sebelum generasi muda mencapai usia persaraan.
Menurut KWSP, penerima berumur bawah 55 tahun akan menerima dana tersebut ke dalam Akaun Persaraan, manakala mereka berumur antara 55 hingga 59 tahun akan menerima pemindahan ke dalam Akaun Emas.
Kemudahan itu dikhususkan kepada ahli keluarga terdekat yang merupakan warganegara Malaysia atau pemastautin tetap serta ahli KWSP di bawah umur persaraan minimum kebangsaan iaitu 60 tahun.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof Datuk Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata ramai pekerja hari ini terpaksa menanggung ibu bapa yang semakin tua di samping anak-anak yang masih bergantung, sambil berusaha merancang persaraan sendiri.
“Generasi sandwic menjadi realiti yang semakin ketara di Malaysia, khususnya dalam kalangan isi rumah berpendapatan sederhana. Ia menyebabkan tekanan kewangan, keletihan dan kebimbangan sama ada mereka mampu terus menyara keluarga serta menjamin masa depan sendiri,” katanya.
Beliau berkata inisiatif seperti i-Legasi membantu menggalakkan perbincangan lebih awal mengenai persaraan dan perancangan kewangan keluarga, selain menzahirkan nilai sokongan antara generasi yang sememangnya telah lama berakar dalam budaya masyarakat Asia.
“Dalam masyarakat Asia, tanggungjawab menyara ibu bapa dan anak-anak adalah nilai yang sudah sebati. Inisiatif ini mengubah perspektif perancangan persaraan daripada beban individu kepada usaha keluarga secara bersama,” katanya.
Seiring pandangan itu, Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng berkata i-Legasi juga mampu menggalakkan perancangan persaraan lebih awal serta meningkatkan tahap tanggungjawab kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya generasi muda.
Beliau berkata aspek perlindungan dalam pelaksanaan skim itu penting bagi memastikan kecukupan simpanan persaraan pencarum tidak terjejas, di samping membantu penerima mengurangkan tekanan kewangan dan meningkatkan taraf hidup.
“Pemindahan ini tertakluk kepada syarat bahawa pencarum KWSP mesti mempunyai simpanan mencukupi bagi menjamin keselamatan kewangan sendiri. Selain itu, KWSP turut menyediakan pilihan pengeluaran dalam bentuk pendapatan bulanan bagi meningkatkan perlindungan kewangan pesara,” katanya.
Mengulas trend ekonomi lebih luas, beliau berkata golongan generasi sandwic di Malaysia dijangka terus meningkat berikutan penuaan penduduk, jangka hayat lebih panjang, pertumbuhan gaji yang perlahan serta simpanan persaraan yang tidak mencukupi.
“Dengan kos sara hidup yang meningkat seiring kadar urbanisasi dan perubahan gaya hidup, generasi sandwic akan semakin terhimpit untuk mempunyai simpanan mencukupi bagi kecemasan dan persaraan, sekali gus berisiko membawa kepada tekanan kewangan warga emas atau krisis kemiskinan hari tua,” katanya.
-- BERNAMA
