PUTRAJAYA, 16 Mei (Bernama) -- Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) boleh mula memohon pembiayaan melalui Kemudahan Kestabilan Perusahaan, Kecil dan Sederhana (SME SRF) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah RM5 bilion bermula 15 Mei hingga 31 Dis 2026.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim berkata PMKS yang layak boleh memohon pembiayaan sehingga RM750,000 dengan kadar faedah atau keuntungan maksimum sebanyak 3.7 peratus setahun.
"Kemudahan ini akan disalurkan melalui 18 institusi kewangan yang mengambil bahagian termasuk Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) dan SME Bank di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
"PMKS boleh memohon pembiayaan ini mulai 15 Mei hingga 31 Dis 2026, atau sehingga keseluruhan peruntukan pembiayaan berjumlah RM5 bilion digunakan sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Sim menggesa semua institusi kewangan yang terlibat supaya mempercepat proses permohonan, kelulusan dan penyaluran pembiayaan di bawah SME SRF dengan prosedur yang lebih pantas, fleksibel dan mesra PMKS agar bantuan dapat disalurkan segera kepada perusahaan yang memerlukan dan terkesan akibat ketidaktentuan ekonomi semasa.
"KUSKOP berharap institusi kewangan terus memainkan peranan sebagai rakan strategik kepada PMKS dengan mengambil pendekatan yang lebih inklusif dan praktikal dalam menilai permohonan pembiayaan, khususnya melibatkan PMKS," katanya.
Dana baharu berjumlah RM5 bilion daripada BNM itu serta tambahan RM5 bilion dalam bentuk jaminan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) menjadikan keseluruhan peruntukan dana bagi sektor PMKS tahun ini meningkat kepada RM60 bilion berbanding RM50 bilion yang diumumkan dalam Belanjawan 2026.
-- BERNAMA
