AM

KERUGIAN "SCAM" MELONJAK RM2.77 BILION, PELABURAN PALSU PUNCA UTAMA - TEO

16/05/2026 01:58 PM

KULAI, 16 Mei (Bernama) -- Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini mempergiat Kempen Internet Selamat pada semua peringkat komuniti susulan peningkatan drastik kes penipuan dalam talian yang merekodkan kerugian berjumlah RM2.77 bilion pada tahun lepas.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata berbanding RM1.28 bilion pada 2023, dan RM1.57 bilion pada 2024, angka kerugian itu menunjukkan trend peningkatan yang membimbangkan dengan penipuan pelaburan tidak wujud penyumbang terbesar kepada jumlah itu.

"Pada awalnya mangsa akan lihat pulangan dalam akaun. Contohnya, jika melabur RM1,000 menjadi RM3,000, menyebabkan mereka menambah lebih banyak wang sehingga habis simpanan mereka,” katanya selepas menghadiri Program Santuni Komuniti bersama platform e-dagang, Shopee di Felda Bukit Permai, di sini hari ini.

Mengulas mengenai Kempen Internet Selamat, Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata kementerian menggunakan pendekatan berbeza mengikut kumpulan sasar bagi memastikan penyampaian mesej kesedaran digital yang berkesan dengan menumpukan buli siber pada peringkat sekolah rendah. 

Sementara itu, bagi peringkat komuniti seperti di Felda, kampung dan taman perumahan, menumpukan kepada isu scam, dan untuk penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan sekolah menengah pula mereka didedahkan mengenai bahaya penipuan pekerjaan serta risiko akaun keldai (mule account).

Setakat 30 April lepas, kempen berkenaan telah dilaksanakan di 10,134 sekolah merangkumi sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah menengah kebangsaan, Institut Pendidikan Guru dan IPT yang melibatkan hampir 900,000 peserta.

Dalam program itu, sebanyak 200 penduduk Felda Bukit Permai menerima sumbangan set barangan keperluan harian hasil kerjasama strategik dengan Shopee, selain penyediaan kaunter saringan kesihatan dan Kempen Internet Selamat oleh petugas Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI). 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan