AM

PENAMBAHBAIKAN PERSIMPANGAN BERTINGKAT EDL: BEBERAPA JALAN UTAMA DI JOHOR BAHRU DITUTUP, DILENCONGKAN

16/05/2026 04:24 PM

JOHOR BAHRU, 16 Mei (Bernama) -- Beberapa penutupan jalan dan lencongan sementara di sekitar persimpangan utama bandar raya ini mula dilaksanakan pada Khamis lepas bagi memberikan laluan kepada Projek Penambahbaikan Persimpangan Bertingkat Lebuhraya EDL - Jalan Lingkaran Dalam dan Jalan Tebrau.

Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dalam kenyataan memaklumkan, pelaksanaan penutupan dan lencongan itu melibatkan dua lokasi utama, iaitu Persimpangan Jalan Lingkaran Dalam/Jalan Tebrau serta Persimpangan Jalan Lingkaran Dalam/Jalan Tun Abdul Razak.

Berdasarkan pelan trafik yang dikeluarkan, lencongan berkenaan merangkumi aliran trafik di Jalan Lingkaran Dalam dari Dataran Bandaraya ke Menara MBJB dan pusat bandar serta dari Stulang Laut ke Kota Tinggi.

Keseluruhan projek pembinaan dijangka siap sepenuhnya pada 30 Sept 2028.

Sehubungan dengan itu, IRDA menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati semasa memandu di kawasan terlibat sepanjang tempoh pembinaan dijalankan. 

“Pihak kontraktor akan sentiasa memaklumkan maklumat terkini sekiranya terdapat sebarang perubahan dari segi tarikh, waktu atau kawasan yang terlibat. Justeru, pengguna dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka terlebih dahulu,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan aliran trafik di kawasan terlibat boleh menghubungi talian bantuan 013-399 8088 atau menerusi Facebook rasmi Iskandar Malaysia untuk maklumat lanjut.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan