AM

KPDN RANGKA PERATURAN KHUSUS ELAK SALAH GUNA "FLEET CARD" SKDS, SKPS

16/05/2026 05:36 PM

KOTA KINABALU, 16 Mei (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang merangka cadangan peraturan khusus di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk mewujudkan perundangan lebih jelas, menyeluruh dan teratur bagi mengawal selia penggunaan fleet card.

Menteri berkenaan Datuk Armizan Mohd Ali berkata Kerajaan Persekutuan komited memperkukuh kawalan serta penguatkuasaan penggunaan fleet card dalam penyaluran subsidi bahan api menerusi Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).

Beliau berkata peraturan tersebut antara lain akan melibatkan aspek tanggungjawab pemegang fleet card dan syarikat minyak serta kesalahan dan hukuman bagi sebarang bentuk penyalahgunaan subsidi.

"Tindakan ini diambil susulan wujudnya ketirisan serta penyelewengan diesel dan petrol melalui penyalahgunaan fleet card. Sejak 2023 hingga 14 Mei lepas, sebanyak 223 fleet card di bawah pelaksanaan SKDS dan SKPS telah disekat.

"KPDN akan terus memperkukuh pemantauan serta penguatkuasaan di peringkat lapangan dan mana-mana pihak yang menyalahgunakan fleet card bagi tujuan penyelewengan akan dikenakan tindakan tegas," katanya dalam sidang media selepas program Inspirasi Beli Barangan Malaysia di sini hari ini.

Armizan berkata KPDN mahu tindakan lebih tegas diambil terhadap mana-mana pihak didapati menyeleweng fleet card termasuk mengenakan hukuman denda sewajarnya, dan bukan sekadar sekatan penggunaan kad berkenaan.

Dalam pada itu, Armizan berkata pelaksanaan penyaluran subsidi bahan api diesel bagi sektor pengangkutan darat barangan melalui SKDS akan diperluas ke Sabah, Sarawak dan Labuan.

Beliau berkata fasa awal peluasan itu melibatkan permohonan pendaftaran menyertai SKDS bagi syarikat-syarikat sektor pengangkutan darat barangan di ketiga-tiga wilayah bermula 4 Mei.

Katanya di bawah pelaksanaan SKDS semasa, 23 kategori kenderaan pengangkutan darat barangan layak menikmati harga subsidi diesel dengan kadar semasa bagi SKDS sektor pengangkutan darat barangan ialah RM2.15 seliter.

Sementara itu, mengenai program hari ini, Armizan berkata ia merupakan strategi di bawah inisiatif Kita Beli Barangan Malaysia yang antara lain sebagai platform pemasaran dan promosi yang menghimpunkan pelbagai pemain industri tempatan sekali gus menjadi pemangkin pengukuhan permintaan dan kebolehpasaran barangan Malaysia.

Katanya ia merangkumi pelbagai segmen termasuk makanan dan minuman, gaya hidup, kecantikan, fesyen, kraf tangan serta perkhidmatan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana sehingga jenama premium tempatan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan