AM

MELAKA NEGERI RINTIS SISTEM QR TAGGING TERNAKAN

16/05/2026 07:01 PM

JASIN, 16 Mei (Bernama) -- Melaka menjadi negeri rintis pelaksanaan sistem QR Tagging Haiwan Ternakan bagi memodenkan pengurusan dan kawal selia ternakan menerusi penggunaan teknologi digital.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata pelaksanaan inisiatif itu, membuktikan sektor penternakan juga mampu bergerak seiring revolusi digital dan teknologi pintar, sekali gus meninggalkan kaedah pengurusan tradisional.

“Kerajaan negeri tidak mahu lagi kaedah pengurusan ternakan dibuat secara lama, sehingga haiwan ternakan dibiarkan berkeliaran dan mengundang risiko kemalangan jalan raya...ada juga kes kemalangan maut, namun pihak berkuasa tidak dapat mengesan siapakah pemilik haiwan ternakan terbabit.

“Dengan pelaksanaan ini juga, akan dapat memastikan pemilik ternakan lebih bertanggungjawab dalam mengawal pergerakan haiwan ternakan mereka,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program berkenaan di Lembah Kesang, Seri Mendapat di sini hari ini.

Hadir sama Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri Dr Mariati Daud Gan.

Ab Rauf berkata sistem QR Tagging itu dibangunkan oleh JPV Melaka, bagi memastikan setiap haiwan ternakan mempunyai pengenalan digital yang unik dan kekal dalam pangkalan data rasmi.

Beliau berkata menerusi sistem QR tagging itu, setiap haiwan ternakan akan dipadankan dengan maklumat pemilik dalam pangkalan data JPV, bagi memudahkan pemantauan, kawalan pergerakan serta pengesanan sekiranya berlaku kehilangan atau penyeludupan haiwan.

“Data yang dikumpulkan menerusi sistem itu juga, membolehkan kerajaan negeri mengetahui jumlah sebenar haiwan ternakan di Melaka termasuk ternakan pedaging, tenusu dan baka, bagi tujuan perancangan industri secara lebih tersusun.

“Pemasangan QR tag ini diberikan secara percuma sehingga hujung tahun 2026, dengan kerajaan negeri memperuntukkan RM300,000 bagi pelaksanaan inisiatif berkenaan namun pada awal tahun 2027, pemasangan QR tag akan dikenakan bayaran RM5 bagi setiap haiwan ternakan,” katanya.

Ab Rauf berkata kerajaan negeri juga akan meneliti pindaan akta kecil pihak berkuasa tempatan berkaitan pengurusan haiwan ternakan, bagi memastikan pelaksanaan sistem itu dapat dikuatkuasakan secara lebih teratur dan berkesan.

Beliau berkata pelaksanaan QR tagging bukan bertujuan menghukum atau menyusahkan penternak, sebaliknya bagi memastikan mereka turut memainkan peranan dalam menjaga keselamatan awam, selain melindungi kepentingan industri ternakan negeri.

“Melalui sistem ini juga, tiada pihak lain boleh sewenang-wenangnya menuntut haiwan ternakan yang hilang, kerana setiap QR tag diselaraskan dengan pangkalan data rasmi pemilik.

“Selain itu dengan sistem tersebut juga membantu pihak berkuasa mengawal isu penyeludupan haiwan ternakan, selain memperkukuh jaminan bekalan makanan negeri,” katanya.

Ab Rauf berkata Melaka berharap inisiatif itu dapat dijadikan model rujukan pada peringkat kebangsaan dalam membangunkan sistem kawalan dan pengurusan haiwan ternakan yang lebih moden serta sistematik.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan