Oleh Abdul Rahman Fahmi Abdul Aziz dan Nabila Uzma
KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Kerajaan mengambil pendekatan yang seimbang, inklusif, dan bertanggungjawab dalam usaha memperluas akses pendidikan tinggi negara bagi membina titik temu nasional untuk masyarakat majmuk di Malaysia.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata komitmen itu bagaimanapun perlu dilaksana seiring dengan usaha mempertahankan asas Dasar Pendidikan Kebangsaan serta Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Beliau berkata dalam sebuah negara berdaulat, sistem pendidikan tidak boleh dilihat sekadar memenuhi soal akademik, tuntutan kelompok tertentu atau identiti sempit semata-mata.
"Ia turut melibatkan pembinaan identiti nasional, pengukuhan perpaduan, pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta kefahaman terhadap sejarah dan kenegaraan Malaysia.
"Atas sebab itu, kerajaan tidak boleh mengubah asas sistem nasional semata-mata untuk memenuhi tuntutan mana-mana aliran pendidikan tertentu," katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.
Zambry berkata demikian bagi menjawab kenyataan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) pada 15 Mei lepas yang mendakwa kerajaan gagal mencerminkan keadilan pendidikan terhadap pelajar lulusan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Beliau menyifatkan dakwaan itu tersasar dan tidak bertanggungjawab.
Zambry berkata mana-mana aliran pendidikan yang mahu mendapat akses lebih luas ke institusi awam perlu menunjukkan kesediaan untuk bergerak dalam kerangka nasional negara, dan kerajaan perlu mempertahankan prinsip serta dasar nasional yang menjadi asas perpaduan serta identiti negara.
Katanya langkah kerajaan memberi laluan kepada calon UEC memohon ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi kursus tertentu dalam bidang bahasa dan kesusasteraan Cina dengan syarat mereka mendapat kepujian mata pelajaran Bahasa Melayu dan lulus dalam subjek Sejarah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga bukan suatu yang kabur, tidak adil dan kecacatan sistemik seperti didakwa oleh Dong Zong.
Sebaliknya, Zambry berkata ia satu pendekatan yang inklusif dan bertanggungjawab dalam menghormati kerangka Dasar Pendidikan Kebangsaan.
"Dalam hubungan ini ketegasan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan sejarah sebagai asas kenegaraan tidak dikompromi. Prinsip ini mesti dilaksanakan secara konsisten dan tidak boleh berubah hanya kerana tekanan politik atau tuntutan mana-mana pihak," katanya.
Beliau berkata masa depan Malaysia memerlukan satu asas bersama yang mampu menghubungkan rakyat melalui bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, pemahaman terhadap sejarah negara serta semangat kenegaraan yang sama.
Katanya Dong Zong juga perlu memahami bahawa universiti awam ialah institusi nasional yang tertakluk kepada dasar negara, oleh yang demikian kerajaan berhak menetapkan syarat tertentu dalam menjaga standard pendidikan, keharmonian sistem dan kepentingan jangka panjang negara.
"Kerajaan kekal komited untuk memastikan pendidikan tinggi negara terus bersifat inklusif, adil dan berkualiti. Namun, inklusif tidak bermaksud kerajaan perlu mengorbankan dasar asas negara.
"Keterbukaan juga tidak bermaksud negara perlu mengabaikan prinsip nasional yang menjadi tunjang pembinaan Malaysia sejak merdeka," katanya.
-- BERNAMA
