BALIK PULAU, 17 Mei (Bernama) -- Penggunaan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) dalam projek Sekolah Angkat MADANI (SAM) dilihat mampu mempercepat tempoh pembinaan dan menjimatkan kos sehingga 30 peratus.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata projek perintis pembinaan bangunan tambahan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tan Sri Awang Had Salleh di sini membuktikan keberkesanan kaedah itu.
“Dibangunkan menggunakan enam unit modular IBS, projek ini berjaya disiapkan dalam tempoh empat bulan, jauh lebih pantas berbanding kaedah konvensional yang mengambil masa sehingga 13 bulan.
“Secara keseluruhan, kami dapat menjimatkan antara 20 hingga 30 peratus kos pembinaan,” katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian dan Penyerahan Blok Tambahan PPKI di SK Tan Sri Awang Had Salleh di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM) Datuk Wan Hashim Wan Rahim.
Amir Hamzah berkata melalui penggunaan teknologi IBS, kerajaan dapat mempercepat pembinaan, mengurangkan kos, pembaziran dan kelewatan projek, sekali gus memastikan wang rakyat digunakan secara lebih cekap dan berkesan.
Beliau berkata pendekatan itu membuktikan Kementerian Kewangan serius dalam memastikan setiap perbelanjaan memberi manfaat nyata kepada rakyat dan pembangunan pendidikan.
Menurut Amir Hamzah, ia juga selari dengan perkembangan global apabila banyak negara maju kini beralih kepada teknologi pembinaan modular yang lebih cepat, cekap dan mampan dalam menghadapi cabaran peningkatan kos pembinaan serta keperluan pembangunan infrastruktur lestari.
Justeru, beliau berkata kerajaan berharap kejayaan projek perintis itu akan menjadi pemangkin kepada penggunaan teknologi pembinaan moden di lebih banyak sekolah dan fasiliti awam pada masa hadapan.
Sementara itu, Amir Hamzah berkata program SAM yang dilancarkan pada 20 Jun 2025 melibatkan 921 sekolah di seluruh negara termasuk sekolah pondok bagi memberi manfaat kepada kira-kira 680,000 pelajar.
“Pada 2026, jumlah sekolah terlibat ditingkatkan kepada 1,500 dan Kementerian Kewangan dengan kerjasama KPM telah meluluskan 146 sekolah sehingga 14 Mei lepas. Jumlah ini dijangka terus meningkat dengan kerjasama pihak GLC, GLIC, badan berkanun dan sektor swasta.
“Peruntukan yang diluluskan adalah RM100,000 bagi setiap sekolah, dengan jumlah keseluruhan RM50 juta bagi mencapai sasaran 500 sekolah di bawah agensi kerajaan,” katanya.
Amir Hamzah ketika mengulas mengenai bangunan blok tambahan kelas Pra PPKI berkata ia akan menjadi antara bukti impak besar program SAM kepada murid dan guru kerana difahamkan sekolah terdekat yang mempunyai kemudahan itu adalah di SK Permatang Damar Laut yang terletak sejauh 17 kilometer.
Beliau yakin dengan kelas Pra PPKI itu, murid pendidikan khas kini dapat belajar dalam suasana yang lebih selesa, selamat dan kondusif, sekali gus membantu meningkatkan fokus, keyakinan serta kesejahteraan mereka.
Bangunan tambahan PPKI di SK Tan Sri Awang Had Salleh itu berjaya disiapkan sebagai sekolah pertama di Malaysia yang dibina menggunakan teknologi IBS 100 peratus buatan Malaysia.
Bangunan berkeluasan 4,867 kaki persegi itu menyediakan dua bilik darjah, bilik serbaguna, mini dewan makan, taman permainan dalaman, laluan Orang Kurang Upaya serta kemudahan lengkap yang kondusif untuk murid dan guru pendidikan khas.
-- BERNAMA
