AM

INISIATIF BANTUAN KASIH JOHOR BERI KELEGAAN, BANTU WARGA EMAS TIADA PENDAPATAN TETAP

18/05/2026 12:22 PM

Oleh Nur Faradilla Mohamad

KLUANG, 18 Mei (Bernama) -- Inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa Empat yang disalurkan kepada warga emas di negeri ini memberi sinar kelegaan bagi golongan itu terutamanya dalam meniti usia senja dengan sebahagian besar daripada mereka tiada pendapatan tetap, ditambah cabaran peningkatan kos sara hidup. 

Tinjauan Bernama di lokasi penyerahan bantuan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap di Dewan Padang Kawad Pasukan Gerakan Am (PGA), Simpang Renggam Sabtu lepas mendapati rata-rata penerima hadir ditemani ahli keluarga, dengan sebahagiannya menggunakan kerusi roda.

Bagi Baharudin Abdul Karim, 61, dari Taman Perkasa, yang kini berkerusi roda akibat serangan strok, bantuan tersebut disifatkan sebagai satu 'bonus' yang amat bermakna buat dirinya.

“Saya merancang untuk berkongsi rezeki dengan membawa isteri dan keluarga makan bersama sebagai tanda penghargaan kerana banyak membantu menguruskan diri saya selepas saya tidak lagi mampu berjalan,” katanya sebak kepada Bernama

Chong Fatt Ting yang menjangkau usia 95 tahun turut tidak ketinggalan hadir bagi mendapatkan bantuan berkenaan dengan ditemani cucunya, Yang Chan Haw, 38.

Walaupun agak uzur, beliau yang berasal dari Kampung Baru Machap di sini, tidak mahu melepaskan peluang mengambil ‘sampul’ BKJ berkenaan yang diserahkan sendiri Menteri Besar Johor yang juga wakil rakyat kawasan itu, Datuk Onn Hafiz Ghazi.  

Chong turut menyatakan hasrat berkongsi bantuan yang diterima bersama ahli keluarga dan jirannya sebagai tanda penghargaan atas bantuan mereka menjaga kebajikannya selama ini.

Sementara itu, S. Amutha, 65, dari Taman Titiwangsa berkata peningkatan kos sara hidup ketika ini menjadikan bantuan berkenaan amat bermakna buat dia sekeluarga. 

"Saya bersyukur dan berharap agar inisiatif berkenaan dapat diteruskan memandangkan ramai yang terkesan dengan keadaan ekonomi semasa termasuk warga emas," kata ibu kepada seorang anak itu.

Chu Minitan Kasimun, 69, dari Kampung Tengah, yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi berkata bantuan itu dapat menampung perbelanjaan harian bagi membeli barangan dapur selain ubat-ubatan asas.

"Walaupun anak-anak ada membantu, bantuan ini sangat penting untuk menambah stok barangan dapur seperti beras, minyak, dan telur, selain keperluan kesihatan saya," katanya.

Terdahulu, Onn Hafiz hadir menyampaikan bantuan tunai bernilai RM200 menerusi BKJ Fasa Empat itu kepada 7,097 penerima di DUN Machap.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM61.4 juta bagi program tersebut yang memberi manfaat kepada 307,000 warga emas, sebagai pengiktirafan kepada jasa golongan itu di seluruh Johor.

"Insya-Allah, jika hasil pendapatan negeri terus meningkat, kita akan bantu golongan sasar lain agar rezeki ini dapat dikongsikan kepada semua lapisan masyarakat secara inklusif tanpa mengira kaum," katanya.

Dalam majlis sama, Onn Hafiz turut mengumumkan perancangan untuk mengadakan Jualan Kasih Johor (JKJ) khas bagi anggota PGA dan kakitangan Penjara Simpang Renggam dalam masa terdekat.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan