SHAH ALAM, 19 Mei (Bernama) -- Komuniti setempat diminta memainkan peranan lebih aktif dalam menyalurkan maklumat awal, bagi membantu pihak berkuasa membanteras kes kecurian kabel dan vandalisme melibatkan infrastruktur telekomunikasi di Selangor.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerjasama orang awam amat penting, dalam memastikan tindakan segera dapat diambil bagi menghalang aktiviti sabotaj, yang bukan sahaja merosakkan kemudahan awam, malah mengganggu capaian digital rakyat.
“Kita (kerajaan negeri) mahu pihak awam terlibat bersama-sama supaya tindakan ataupun kegiatan curi kabel termasuk vandalisme terhadap kemudahan digital ini, dapat dikurangkan sebagaimana saya sebut kemudahan digital penting untuk menyambung kehidupan negeri Selangor.
“Langkah bersepadu yang digerakkan pada peringkat akar umbi itu amat penting, bagi memastikan setiap prasarana digital negeri sentiasa dilindungi secara berterusan daripada ancaman sabotaj,” katanya selepas melancarkan Kempen Pencegahan Vandalisme Infrastruktur Telekomunikasi Peringkat Negeri Selangor 2026, di Kelab Shah Alam Selangor, di sini hari ini.
Amirudin berkata usaha berkenaan perlu diperkukuh, bagi memastikan kelangsungan perlindungan infrastruktur digital negeri, susulan Selangor mencatatkan jumlah insiden yang tinggi dalam tempoh setahun lepas.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Selangor kekal sebagai antara negeri yang merekodkan jumlah kes tertinggi di Malaysia, apabila sebanyak 1,836 kes dilaporkan pada 2024, diikuti 1,273 kes pada tahun lepas.
Penasihat Kanan Operasi MCMC Datuk Zurkarnain Mohd Yasin berkata impak daripada kemusnahan fizikal infrastruktur yang berlaku sebelum ini amat besar, sehingga menyaksikan industri telekomunikasi terpaksa menanggung kerugian melebihi RM20 juta setiap tahun, bagi kerja-kerja pembaikan.
“Beberapa kawasan di Selangor turut dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi dan mengalami insiden berulang iaitu Rawang, Gombak, Bangi, kawasan Sungai Tekali serta Hulu Langat, yang tempoh gangguan perkhidmatan menjadi lebih panjang membabitkan komponen kritikal seperti microwave transmission dan peralatan rangkaian tertentu.
“Alat ganti perlu ditempah dari luar negara dan proses penghantaran serta pemasangan semula memerlukan tempoh masa tambahan, antara satu hingga tiga tahun sebelum perkhidmatan dapat dipulihkan sepenuhnya. Situasi ini secara langsung memberi kesan kepada kestabilan perkhidmatan telekomunikasi serta menjejaskan pengguna dan komuniti,” katanya.
Dalam pada itu, Zurkarnain berkata pihaknya kini giat memastikan tindakan penguatkuasaan lebih efektif, dengan memperkukuh strategi pencegahan melalui sesi libat urus di kawasan-kawasan panas.
Beliau berkata pendekatan sedemikian dapat menjana kerjasama lebih erat dengan pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), ketua kampung, pemimpin masyarakat, persatuan penduduk dan komuniti setempat, dalam usaha meningkatkan kesedaran serta menggalakkan penyaluran maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.
Terdahulu, Kempen Pencegahan Vandalisme Infrastruktur Telekomunikasi Peringkat Negeri Selangor 2026 disertai lebih 300 peserta meliputi rakan strategik MCMC, pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi penguat kuasa, pemain industri telekomunikasi serta wakil komuniti setempat.
-- BERNAMA
