KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Kerajaan kini memberikan tumpuan kepada kesiapsiagaan negara, ketepatan dasar, keberkesanan pelaksanaan serta keadilan dalam penyaluran bantuan bagi mendepani krisis bekalan global susulan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik dunia.
Sehubungan dengan itu, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kerajaan terus mengurus krisis bekalan global berdasarkan empat keutamaan termasuk menjamin bekalan, khususnya makanan, tenaga, ubat-ubatan dan barangan keperluan.
Keutamaan itu turut meliputi usaha memanjangkan dan mengoptimumkan bekalan sedia ada melalui pengurusan subsidi, kawalan ketirisan serta penguatkuasaan serta mengekang kenaikan harga supaya tekanan kos tidak dipindahkan sepenuhnya kepada rakyat.
Selain itu, Akmal Nasrullah berkata kerajaan akan memanfaatkan peluang baharu termasuk dalam biodiesel, bahan api lestari dan sumber alternatif.
Libat urus bersama industri, persatuan perniagaan, kementerian, agensi penguatkuasaan dan pihak berkepentingan lain juga akan terus diperkukuh supaya setiap maklum balas dapat dinilai secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan dasar dimuktamadkan.
"Dalam mendepani cabaran ini, keutamaan kerajaan kekal kepada kesejahteraan rakyat dan daya tahan ekonomi negara.
“Angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang baik memberikan keyakinan tetapi realiti kos sara hidup rakyat, tekanan operasi industri dan ketidaktentuan global menuntut kerajaan untuk terus berhati-hati dan bertindak pantas," katanya pada Taklimat Krisis Bekalan Global, hari ini.
Sepanjang tempoh krisis berkenaan, beliau berkata Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah bersidang secara berkala sebanyak 10 kali termasuk mesyuarat pada hari ini bagi menilai situasi semasa dan mempercepat tindakan kerajaan.
Sebanyak 24 kertas pembentangan merentasi 13 sektor ekonomi telah dibincangkan, dengan 96 keputusan diminitkan, setakat 12 Mei lepas.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 11 keputusan telah selesai dan 78 lagi masih dalam pelaksanaan. Ini menunjukkan pendekatan kerajaan bukan bersifat reaktif semata-mata.
"Sebaliknya, tindakan kerajaan adalah secara berterusan melalui pemantauan mingguan, penyelarasan merentas kementerian dan semakan status tindakan bagi memastikan setiap keputusan diterjemahkan kepada pelaksanaan yang segera dan berkesan," katanya.
-- BERNAMA
