AM

UJANA TENAGA PETRONAS HIMPUN KISAH PERJALANAN TENAGA DI TERENGGANU

19/05/2026 07:41 PM

KUALA TERENGGANU, 19 Mei (Bernama) -- Galeri Petroleum yang dinaik taraf kepada Ujana Tenaga PETRONAS di Muzium Negeri Terengganu, di sini bukan sekadar ruang pameran, malah menghimpunkan kisah tenaga, warisan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) serta kemajuan teknologi dengan cara penyampaian yang dekat dengan masyarakat.

Naib Presiden Kanan Projek, Kejuruteraan dan Teknologi Petronas Mohd Yusri Mohamed Yusof berkata galeri tersebut dibahagikan kepada empat zon utama, iaitu Asas, Teras, Cita dan Citra.

Beliau berkata zon Asas memperkenalkan permulaan dan asas pembangunan yang menjadi sebahagian daripada pertumbuhan Terengganu, manakala zon Teras mengetengahkan peranan sektor tenaga yang memacu pertumbuhan ekonomi.

"Selain itu, zon Cita membawa pengunjung melihat kepentingan inovasi, teknologi baharu dan tenaga boleh baharu ke arah masa depan yang lebih mampan.

"Terakhir, zon Citra menonjolkan impak jangka panjang terhadap pendidikan, alam sekitar dan pembangunan komuniti agar manfaat kemajuan dapat dirasai oleh lebih ramai pihak," katanya pada Majlis Perasmian Pembukaan Ujana Tenaga Petronas hari ini.

Pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail berkenan berangkat merasmikan program tersebut yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Mohd Yusri berkata pembangunan Ujana Tenaga Petronas merangkumi reka bentuk ruang, pemasangan bahan pameran, pembangunan kandungan serta integrasi elemen multimedia, audiovisual dan interaktif.

Beliau berkata ia bertujuan memberi pengalaman lebih menarik dan difahami pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat serta tahap pendidikan.

"Terengganu mempunyai tempat bermakna dalam sejarah industri tenaga negara. Negeri ini bukan sahaja penting kepada operasi tenaga, malah turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kemajuan industri negara.

"Justeru, amat wajar kisah perjalanan tenaga ini diraikan di Muzium Negeri Terengganu yang menjadi tempat pemeliharaan warisan, merakam sejarah serta menghubungkan generasi hari ini dengan nilai serta pengalaman masa lalu," katanya.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata inisiatif tersebut akan memberi manfaat dan sumber inspirasi kepada seluruh lapisan masyarakat dalam memahami kepentingan pengurusan sumber secara lestari.

Katanya pendekatan yang lebih interaktif itu diharap memperluas peranan muzium kepada pusat pembelajaran dinamik yang menghubungkan sejarah, sains, teknologi serta inovasi.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan