AM

SEMUA KAPAL GSF 2.0 BAWA 428 AKTIVIS DIPINTAS IOF - SNCC

20/05/2026 03:01 PM

SEPANG, 20 Mei (Bernama) -- Sumud Nusantara Command Center (SNCC) mengesahkan kesemua 50 kapal Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang membawa 428 aktivis kemanusiaan daripada 40 negara, telah dipintas tentera laut rejim Zionis Israel (IOF) di perairan antarabangsa, kira-kira 80 batu nautika dari pantai Gaza.

Ketua Pengarah SNCC Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata laporan dan bukti visual mendedahkan, kapal Sirius telah diserang menggunakan meriam air bertekanan tinggi serta dirempuh secara agresif oleh kapal IOF beridentiti A833D.

“Bukti visual turut merakamkan insiden tembakan ke arah kapal Girolama dan Elengi. Setiap kapal GSF ini mempunyai CCTV (kamera litar tertutup) pada tiang kapal. Semua aktiviti direkodkan akan jadi bahan bukti.

“Kesemua aktivis merangkumi doktor, pengamal media, kapten, kru kapal dan pembela hak asasi manusia, disahkan diculik dari kapal masing-masing di bawah ancaman senjata, sebelum dipindahkan secara paksa ke kapal perang rejim dipercayai dibawa ke Pelabuhan Ashdod, semalam,” katanya pada sidang media perkembangan Misi GSF 2.0, di sini hari ini.

Beliau berkata insiden itu turut melibatkan 18 kapal yang membawa 29 rakyat Malaysia termasuk kejadian empat aktivis negara yang dilaporkan ditahan semalam, iaitu Muhammad Hareez Adzrami dan Chin Shiau Weai yang menaiki kapal Alcyone, serta Syed Amirul Syafiq Syed Iskandar (kapal Don Juan) dan Noor Thanisah Mohammad Tajudin (kapal Zefiro).

“Ini berdasarkan pengesahan mutakhir daripada bilik gerakan SNCC,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Sani Araby berkata SNCC turut mengesahkan empat daripada 11 keseluruhan delegasi serantau dari Indonesia, yang mewakili jaringan Sumud Nusantara turut ditahan.

Mereka ialah Herman Budianto dan Ronggo Wirsano dari kapal Alcyone, manakala Asad Aras serta Hendro Prasetyo berada di kapal Kasri Sadabad.

Beliau juga menyifatkan insiden itu sebagai pencabulan serius terhadap undang-undang antarabangsa serta hak asasi manusia dan menuntut tindakan segera masyarakat antarabangsa berhubung keselamatan semua aktivis yang terlibat.

Sany Araby juga berkata SNCC telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, bahawa usaha diplomatik sedang digerakkan secara giat dan berterusan untuk meningkatkan tekanan antarabangsa.

Ini termasuk kerjasama rapat dengan negara-negara sahabat, bagi memastikan semua aktivis dibebaskan dengan segera serta berada dalam keadaan selamat. 

“SNCC menyokong penuh ketegasan kerajaan Malaysia yang mengecam keras insiden pencerobohan terhadap misi kemanusiaan ini,” katanya.

Beliau berkata SNCC turut menyokong kenyataan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan pada 18 Mei yang menyifatkan tindakan IOF terhadap flotilla kemanusiaan itu sebagai tindakan “lanun dan penyamun” di perairan antarabangsa.

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan