AM

INSIDEN KEKASARAN LIPUTAN KONVENSYEN PM: MMM GESA SIASATAN MENYELURUH, TELUS

20/05/2026 04:09 PM

PUTRAJAYA, 20 Mei (Bernama) -- Majlis Media Malaysia (MMM) menggesa supaya siasatan terhadap insiden gangguan serta kekasaran terhadap sekumpulan pengamal media ketika membuat liputan Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026 di Johor, Ahad lepas, dijalankan secara menyeluruh, telus dan segera.

Dalam kenyataan hari ini, MMM mengambil maklum bahawa Sekretariat Konvensyen PH telah mengeluarkan kenyataan dan memandang serius dakwaan tersebut serta memulakan siasatan dalaman, selain menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa.

"Kekerasan fizikal, pencerobohan atau intimidasi sama sekali tidak boleh diterima sebagai tindak balas terhadap kehadiran media. 

"Di bawah Seksyen 6 Kod Tata Kelakuan, pengamal media dan organisasi media terikat dengan piawaian yang melarang gangguan serta intimidasi," menurut kenyataan itu.

MMM menegaskan pengamal media yang menjalankan tugas secara sah dan profesional mesti diberikan penghormatan, ruang dan keselamatan untuk melaksanakan tugas mereka. 

"Petugas media yang membuat liputan acara awam termasuk konvensyen politik, berbuat demikian bagi menjalankan tanggungjawab profesional mereka dan demi memenuhi hak orang awam untuk mendapatkan maklumat," menurut kenyataan itu.

MMM turut menyeru penganjur acara merentasi semua parti politik, institusi awam dan entiti swasta supaya memastikan akses yang sewajarnya, penyelarasan yang mencukupi dan keadaan kerja yang selamat disediakan kepada petugas media bertauliah di semua acara, selaras dengan prinsip kebebasan media, ketelusan dan kebertanggungjawaban awam.

Menurut kenyataan itu lagi, semua pihak perlu menghormati hak media dalam menjalankan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan, namun sekiranya terdapat sebarang aduan, pihak yang terlibat boleh mengemukakan perkara itu secara rasmi melalui saluran yang sesuai, bukan dengan mengambil tindakan sendiri.

"Kod Tata Kelakuan dan Mekanisme Aduan MMM diwujudkan bagi tujuan tersebut," menurut MMM.

Insiden berhubung tindakan agresif skuad keselamatan parti politik terhadap petugas media ketika membuat liputan Konvensyen PH 2026 telah mendapat reaksi daripada pelbagai pihak selain beberapa laporan polis telah dibuat.

Media melaporkan Pemangku Ketua Polis Johor DCP Hoo Chuan Huat berkata polis akan memanggil beberapa saksi bagi membantu siasatan berhubung insiden berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan