KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Timbalan Menteri Perpaduan Negara R. Yuneswaran menziarahi waris mendiang Setiausaha Rukun Tetangga Kampung Kasipillay, P. Karthi yang meninggal dunia baru-baru ini, bagi menzahirkan penghargaan kerajaan terhadap jasa dan sumbangannya kepada masyarakat setempat.
Beliau berkata kunjungan itu juga mencerminkan ingatan berterusan kerajaan terhadap jasa tokoh-tokoh awal serta keluarga Karthi yang banyak berbakti dalam membina semangat perpaduan di peringkat akar umbi.
“Karthi merupakan anak kepada mendiang Palanisamy, yang merupakan antara Setiausaha Rukun Tetangga pertama di Malaysia apabila penubuhan Kawasan Rukun Tetangga diwujudkan di Kampung Kasipillay, Kuala Lumpur pada 1975 selepas era Majlis Gerakan Negara (MAGERAN).
“Mendiang Palanisamy dan Karthi merupakan antara individu yang banyak menyumbang tenaga dan khidmat dalam menghidupkan semangat kejiranan, kebersamaan serta perpaduan masyarakat sejak awal penubuhan Rukun Tetangga di kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata Kampung Kasipillay juga terus dikenang sebagai lokasi bermulanya sejarah penting Rukun Tetangga di Malaysia, yang kemudian berkembang di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Kementerian Perpaduan Negara, sehingga menjadi asas kepada keharmonian masyarakat hari ini.
Yuneswaran turut berharap agar keluarga mendiang terus diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan insan tersayang, selain mendoakan agar segala jasa dan bakti Karthi kepada komuniti setempat terus dikenang oleh masyarakat Kampung Kasipillay.
-- BERNAMA
