AM

SANTUNI MADANI: KAMPUNG BADAK TERPILIH KAMPUNG ANGKAT SKM

23/05/2026 04:29 PM

Oleh Adnan Mohamad

BACHOK, 23 Mei (Bernama) -- Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) berupaya menjadi pemangkin pembangunan komuniti luar bandar menerusi pendekatan libat urus langsung, pemantauan bersepadu dan penyampaian perkhidmatan yang lebih efektif kepada rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Noor Afifah Abdul Razak berkata pemilihan Kampung Badak di sini sebagai kampung angkat di bawah program berkenaan menjadi satu amanah besar dalam usaha memperkasakan kesejahteraan masyarakat setempat.

"Program ini selari dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13, khususnya dalam aspek pembasmian kemiskinan, peningkatan taraf hidup komuniti luar bandar serta memperkukuh ekosistem ekonomi tempatan," katanya ketika ditemui Bernama pada Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) di Kampung Badak di sini, hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak 100 golongan asnaf turut menerima sumbangan zakat oleh Bank Rakyat membuktikan komitmen sektor korporat dalam membantu masyarakat secara lebih tersusun dan menyeluruh.

Mengulas lanjut, Noor Afifah berkata antara inisiatif utama yang telah dilaksanakan ialah pemasangan sistem tenaga solar di Masjid An Nur, Mukim Badak dengan kos RM50,000 hasil perbincangan bersama-sama kepimpinan kampung, jawatankuasa kariah masjid dan komuniti setempat.

"Projek berkenaan bukan sahaja dapat mengurangkan bil elektrik masjid secara signifikan, malah turut menyokong penggunaan tenaga boleh baharu dan mengurangkan jejak karbon komuniti selaras dengan agenda kelestarian negara serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

"Kerja pemasangan telah dilaksanakan oleh kontraktor tempatan yang dilantik SKM pada April lepas dan siap sepenuhnya pada pertengahan Mei lepas," katanya.

Beliau berkata gerakan koperasi akan terus diperkasakan sebagai instrumen penting pembangunan ekonomi komuniti luar bandar dan hasilnya, Koperasi Kariah Masjid An Nur Mukim Badak Berhad didaftarkan pada 6 Mac lepas, sekali gus menjadi koperasi pertama berdaftar di kampung berkenaan.

"Kami akan memastikan koperasi ini berkembang maju melalui bimbingan teknikal, latihan kepimpinan serta akses kepada ekosistem koperasi yang disediakan SKM," katanya.

Mengulas tentang inisiatif Jualan MADANI Koperasi (JMK), beliau berkata program itu menawarkan barangan keperluan harian pada harga hingga 20 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran dan diskaun sebanyak 30 peratus menerusi slot “Happy Hour”.

"Saya yakin Kampung Badak mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai model pembangunan komuniti luar bandar berasaskan gerakan koperasi, ekonomi hijau dan semangat Malaysia MADANI yang boleh dicontohi di seluruh negara," katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan