KOTA KINABALU, 23 Mei (Bernama) -- Program Jaguh Keusahawanan Nasional (JAGUH) 2026 menyasarkan penyertaan seramai 3,000 mahasiswa dan graduan tahun ini bagi meningkatkan potensi mereka dalam bidang keusahawanan melalui integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI).
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif dengan kerjasama Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) itu bertujuan memperkukuh pembangunan bakat keusahawanan nasional secara tersusun dan berimpak tinggi.
Menurut KUSKOP, program JAGUH dengan keseluruhan 12 siri itu yang dijadualkan berlangsung di seluruh negara menggunakan pendekatan keusahawanan berasaskan disiplin akademik, yang mana peserta digalakkan untuk menghasilkan idea inovatif dan prototaip pantas.
"Pelaksanaan program ini memberi fokus kepada tiga sektor utama iaitu Sektor Pertumbuhan Tinggi dan Bernilai Tinggi (HGHV), Ekonomi Jingga (Orange Economy) dan Ekonomi Biru (Blue Economy)," jelas kementerian itu.
Sementara itu, Program JAGUH 2026 siri keenam yang berlangsung selama dua hari di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah menyaksikan penyertaan seramai 189 mahasiswa daripada tujuh Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sekitar negeri itu.
Majlis penutup dan penyampaian sijil disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin, hari ini.
Setakat ini, program JAGUH 2026 telah berjaya menarik penyertaan seramai 1,002 mahasiswa dan graduan menerusi lima siri pelaksanaan yang melibatkan 57 IPT di seluruh negara.
Kementerian itu memaklumkan pelaksanaan program berkenaan dibuat melalui dua fasa utama, yang mana 120 peserta terbaik akan dipilih melangkah ke fasa kedua untuk mengikuti program pembangunan serta bimbingan lanjutan secara intensif.
Selain berpeluang mengetengahkan projek dan idea inovatif berpotensi tinggi ke peringkat pengkomersialan, peserta turut berpeluang dinobatkan sebagai juara Program JAGUH dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000.
Bagi mendepani cabaran landskap ekonomi yang dinamik, KUSKOP menyeru mahasiswa untuk tampil proaktif dan memanfaatkan peluang tersedia termasuk inisiatif pembiayaan.
Antara inisiatif strategik yang ditawarkan melalui agensi di bawah kementerian itu ialah kemudahan oleh Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Bank Rakyat, Institut Koperasi Malaysia (IKMa), UDA Holdings Berhad, dan TEKUN Nasional.
-- BERNAMA
