AM

FOMCA SERU PERKUKUH PEMANTAUAN SUSULAN PERLUASAN SKDS

23/05/2026 08:26 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa kerajaan supaya memperkukuh pemantauan harga barangan keperluan serta penguatkuasaan susulan peluasan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Dalam kenyataan hari ini, FOMCA memaklumkan bahawa walaupun peluasan subsidi diesel bagi kenderaan jenis jip dan pikap di seluruh negara mampu membantu mengurangkan kos pengangkutan, tiada jaminan automatik bahawa penjimatan itu akan diterjemahkan kepada penurunan harga runcit.

“Kos bahan api dan logistik merupakan komponen penting dalam rantaian bekalan. Pemantauan dan penguatkuasaan yang berkesan perlu bagi memastikan penjimatan kos diterjemahkan kepada harga runcit yang lebih rendah dan bukannya diserap sebagai keuntungan tambahan oleh pihak tertentu,” menurut kenyataan itu.

FOMCA turut menyambut baik keputusan kerajaan untuk memperluaskan kelayakan SKDS kepada kenderaan jip dan pikap di seluruh negara, khususnya bagi pengusaha yang terlibat dalam pengangkutan darat.

Menurut FOMCA, langkah itu dilihat tepat pada masanya memandangkan kos pengangkutan dan logistik terus memberi kesan langsung kepada harga makanan, hasil pertanian dan barangan keperluan harian yang ditanggung pengguna. 

\Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), penambahbaikan mekanisme SKDS membolehkan syarikat yang memiliki kenderaan jip dan pikap bagi tujuan pengangkutan barangan darat mendaftar di bawah sistem tersebut bermula 1 Jun ini.

 Kerajaan juga memperluaskan manfaat subsidi diesel kepada kenderaan tertentu yang sebelum ini didaftarkan atas nama individu, tertakluk kepada syarat pendaftaran syarikat dan pertukaran hak milik kenderaan. 

FOMCA memaklumkan persatuan itu menghargai usaha berterusan kerajaan dalam menangani peningkatan kos sara hidup ketika dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi global dan krisis geopolitik yang telah menyebabkan kenaikan harga minyak dan komoditi di peringkat antarabangsa. 

--BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan