IPOH, 23 Mei (Bernama) -- Seorang remaja perempuan dilaporkan hilang dipercayai tersesat semasa melakukan aktiviti pendakian di Bukit Changkat Asa dekat Tanjong Malim, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan pada 1.26 tengah hari sebelum sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dan BBP Tanjong Malim digegaskan ke lokasi kejadian.
"Mangsa, Nur Izzati Humaira Azizul berumur 19 tahun dipercayai tersesat semasa menuruni bukit bersama lima rakan dan ahli keluarganya.
"Ketua operasi mengaplikasikan konsep LAST (Kenal Pasti Lokasi, Akses ke Mangsa, Stabilkan Mangsa dan Pemindahan Mangsa) dengan memulakan pencarian di bukit yang dilaporkan kali terakhir mangsa dilihat pada radius 234 meter ketinggian Bukit Changkat Asa," katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang turut melibatkan pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Malim Gunung Perhutanan ditangguhkan pada 7 malam tadi.
-- BERNAMA
