SUKAN

SZE FEI-NUR IZZUDDIN KE FINAL MALAYSIA MASTERS SELEPAS SINGKIR AARON-WOOI YIK

23/05/2026 10:11 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Beregu lelaki profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani melangkah ke pentas final Malaysia Masters 2026 selepas menewaskan  pasangan nombor satu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam aksi separuh akhir di Arena Unifi, Bukit Jalil, hari ini.

Beregu ranking ketujuh dunia itu mempamerkan aksi meyakinkan apabila mengejutkan pasangan pilihan kedua dunia berkenaan dengan kemenangan 21-18, 21-12 dalam tempoh 33 minit.

Kemenangan tersebut merupakan kejayaan ketiga Sze Fei–Nur Izzuddin ke atas Aaron–Wooi Yik daripada sembilan pertemuan antara kedua-dua pasangan.

“Saya rasa hari ini kemenangan bukan bermaksud mereka (Aaron–Wooi Yik) tidak bermain baik. Saya rasa mereka berada di bawah tekanan yang tinggi dan tidak berada pada tahap terbaik,” kata Sze Fei selepas perlawanan.

Sementara itu, Nur Izzuddin menyifatkan ketenangan mereka di gelanggang menjadi faktor utama kejayaan tersebut.

Sze Fei–Nur Izzuddin seterusnya akan berdepan pasangan Denmark, Daniel Lundgaard–Mads Vestergaard di perlawanan akhir esok selepas gandingan tersebut menewaskan beregu negara Wan Arif Wan Junaidi–Yap Roy King 21-19, 21-17 dalam tempoh 49 minit.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan