KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Pemain sayap sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT) Arif Aiman Mohd Hanapi meluahkan rasa syukur selepas kembali beraksi setelah hampir enam bulan berehat akibat kecederaan serius dialami pada kempen Kelayakan Piala Asia 2027, November tahun lepas.
Arif Aiman yang membuat penampilan semula di pentas kompetitif pada final Piala Malaysia 2025-2026 menentang Kuching City di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini malam tadi, mengakui tempoh pemulihan yang dilaluinya bukan sesuatu yang mudah.
Pemain kebangsaan itu berkata beliau terpaksa melalui rutin latihan dan pemulihan yang mencabar setiap hari demi memastikan dirinya kembali cergas untuk beraksi semula di atas padang.
“Pertama sekali alhamdulillah, bersyukur selepas hampir enam bulan saya tidak beraksi. Memang saya struggle sangat-sangat untuk kembali beraksi. Setiap hari di gimnasium memang membosankan, tetapi saya kena hadap sebab ini adalah kecederaan paling teruk dalam karier sebagai pemain bola sepak.
“Saya ambil itu sebagai motivasi. Selepas saya cedera, saya rehatkan diri, tidak letakkan tekanan dan ambil masa untuk pulih sebab saya percaya satu hari nanti saya akan comeback seperti hari ini (malam ini),” katanya pada sidang media selepas perlawanan akhir itu.
Arif Aiman mengalami kecederaan hamstring ketika aksi kelayakan Piala Asia 2027 antara Malaysia menentang Nepal di sini pada 18 Nov tahun lepas.
Pada aksi semalam, Arif Aiman menceriakan penyokong skuad Harimau Selatan apabila dimasukkan pada minit ke-65 sebelum meledak gol kedua pasukan pada minit ke-90 untuk membantu JDT menewaskan Kuching City 2-0, sekali gus mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia buat kali keempat berturut-turut.
Pemain berusia 24 tahun itu turut diangkat sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.
Sementara itu, Arif Aiman mengesahkan beliau akan menamatkan zaman bujangnya, dengan media sebelum ini melaporkan majlis perkahwinan beliau bersama pilihan hatinya Nurul Aliah Natasha Md Hairushahri dijadual berlangsung di Johor Bahru, esok (25 Mei).
“Alhamdulillah. Ini hadiah paling bermakna selepas enam bulan saya tak beraksi. Jadi saya akan memulakan fasa baru dalam kehidupan saya,” kata Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan empat tahun berturut-turut itu.
-- BERNAMA
