ALOR SETAR, 24 Mei (Bernama) -- Kolej Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melakar sejarah di pentas kulinari antarabangsa apabila meraih keseluruhan 32 pingat pada Kejohanan Cef Dunia (WCC) 2026 yang berlangsung di Johor Bahru.
Pertandingan yang diadakan dari 21 hingga 23 Mei di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor itu dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Juara Juru Masak Malaysia (MCMA).
Pengurus Besar KEDA Afifah Omar berkata daripada keseluruhan pingat tersebut, Kolej KEDA meraih 12 pingat emas, 19 pingat perak dan satu pingat gangsa.
“Daripada 12 pingat emas itu, dua merupakan pengiktirafan tertinggi dalam kategori ‘Excellent Gold’, manakala 10 lagi ialah pingat emas standard, sekali gus meletakkan institusi ini sebagai antara kontinjen paling menyerlah sepanjang tiga hari kejohanan berlangsung.
“Kejayaan ini amat membanggakan kerana pelajar bukan sahaja diuji dari aspek kreativiti dan rasa, malah turut dinilai dari segi ketepatan teknik masakan moden dan tradisional serta aspek kebersihan dapur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Afifah berkata antara kategori kompetitif yang dimenangi termasuk Free Style Cookies, Team Fruit or Vegetable Carving, Thai Modern Main Course, Spaghetti Challenge, Char Kuey Teow, masakan tradisional seperti kurma daging dan rendang ayam, serta seni pembuatan minuman seperti teh tarik ‘freestyle’.
“Platform ini berjaya mengasah bakat serta membina keyakinan diri dalam kalangan pelajar Kolej KEDA, sekali gus membuktikan kebolehpasaran graduan luar bandar dalam bidang hospitaliti dan seni kulinari di peringkat global.
“Pihak pengurusan KEDA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh peserta serta tenaga pengajar atas usaha, dedikasi dan semangat juang luar biasa yang ditunjukkan dalam mengharumkan nama kolej dan negara,” katanya.
-- BERNAMA
