KUALA TERENGGANU, 24 Mei (Bernama) -- Polis mengesahkan tiga pekerja pelantar minyak maut manakala seorang lagi cedera parah, selepas bot penyelamat yang dinaiki mereka terjatuh ke laut ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di platform Sepat, perairan Terengganu-Kelantan, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata mangsa yang maut ialah Ahmad Fiqri Zakaria, 38, dari Batu Berendam, Melaka; Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, dari Kuantan, Pahang; dan Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 38, dari Bandar Indera Mahkota, Pahang.
Beliau berkata seorang lagi mangsa, Mohd Taufik Mohd Ruslan, 37, dari Banting, Selangor dilaporkan cedera parah dan masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.
“Dalam kejadian kira-kira 12.50 tengah hari itu, keempat-empat mangsa dipercayai menaiki sebuah bot penyelamat yang berada di atas platform untuk turun ke laut bagi menjalankan kerja penyelenggaraan di bahagian bawah platform berkenaan. Kesemua mangsa ialah pekerja bahagian keselamatan pelantar, yang sedang membuat penyelenggaraan bot penyelamat.
“Bagaimanapun, tali atau cangkuk yang dipasang pada bot itu dipercayai tercabut, sebelum menyebabkan kesemua mangsa terjatuh ke dalam laut bersama bot berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli berkata pasukan penyelamat kemudian bertindak membawa semua mangsa naik semula ke platform, sebelum mereka diterbangkan menggunakan helikopter ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) kira-kira 4 petang.
Beliau berkata kesemua mangsa tiba di LTSM pada 5 petang sebelum dikejarkan ke Unit Kecemasan HSNZ.
“Bagaimanapun, tiga mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital, manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah dipercayai akibat patah tulang,” katanya.
Azli berkata mayat ketiga-tiga mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik HSNZ untuk dibedah siasat.
Beliau berkata kes setakat ini disiasat sebagai mati mengejut dan bedah siasat akan dijalankan pada 8.30 pagi esok.
-- BERNAMA
