| BERITA TERGEMPAR | Allianz Malaysia posts higher net profit of RM227.35 mln in 1Q FY2026 compared to RM213.04 million in 1Q FY2025 | |
KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) — Pelancaran platform Bursa Sosial oleh pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mampu menangani kebimbangan awam terhadap aspek berkaitan pengumpulan dana kebajikan selain menyokong impak sosial secara lebih teratur dan berlandaskan akauntabiliti.
Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata langkah mewujudkan saluran berstruktur serta telus bagi gabungan pendanaan, tujuan dan teknologi, turut menjadi peluang untuk membolehkan hasrat atau niat baik direalisasikan kepada hasil atau impak yang dapat diukur.
“Ini juga memaparkan kemampuan pasaran modal untuk menjadi penggerak pertumbuhan sosial. Platform ini akan turut mewujudkan limpahan bermanfaat yang dapat memperdalam infrastruktur kewangan sosial Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Bursa Sosial itu di sini, hari ini.
​Menjelaskan selanjutnya, Liew berkata platform itu akan mewujudkan perancangan projek impak sosial yang berwibawa, mengukuhkan standard tadbir urus dan pelaporan bagi sektor ketiga selain dapat menarik penyertaan daripada penderma institusi dan individu.
Kerajaan telah memperuntukkan geran berjumlah RM2 juta bagi plaform Bursa Sosial itu yang dikendalikan SC untuk meningkatkan ekosistem impak sosial negara.
“Kita mempunyai syarikat yang sememangnya melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), namun dilakukan secara individu. Oleh itu, Bursa Sosial ini berperanan sebagai platform yang dikawal selia untuk memastikan (aspek) ketelusan.
“Pada masa sama, kita juga mahu melihat impak platform ini dan berharap dapat menyaksikan lebih banyak lagi (manfaatnya) sebelum mempertimbang untuk meningkatkan (peruntukan),” katanya.
Sementara itu, Pengerusi SC Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata platform merupakan penyelesaian sesuai bagi menggabungkan sumber sedia ada melalui struktur kawal selia yang meningkatkan ketelusan, memperkukuh kredibiliti dan akauntabiliti selain membina kepercayaan awam.
“Pertubuhan bukan berkeuntungan (NPO) di platform itu perlu memenuhi kriteria kelayakan dan syarat tertentu.
“Bursa Sosial ini menyediakan saluran telus bagi untuk NPO dan perusahaan sosial mengumpul dana bagi projek yang layak selain membolehkan penderma serta pelabur swasta mendapat gambaran lebih jelas mengenai bagaimana dana digunakan serta hasil yang dicapai,” katanya.
Beliau berkata pihak SC juga mengambil pendekatan teliti serta berperingkat dalam aspek pembangunan Bursa Sosial itu.
“Fasa pertama menumpukan pengumpulan dana kebajikan dan dengan (peranan) platform itu memudah cara sumbangan kepada organisasi NPO yang layak.
“SC akan terus memperkemas rangka kerja (terbabit) bagi meningkatkan penyertaan pelbagai pihak berkepentingan selain impak lebih menyeluruh, termasuk impak sosial, berasaskan komuniti serta berkaitan iklim,” katanya.
​Mohammad Faiz berkata pendekatan sedemikian bertujuan memastikan kesediaan pasaran selain menjamin kemampanan bagi jangka panjang.
Majlis pelancaran itu turut menyaksikan tiga penyumbang korporat memberi komitmen menyalurkan sumbangan berjumlah RM60,000, sekali gus mencerminkan peningkatan minat sektor swasta dalam menyokong projek impak sosial yang layak melalui Bursa Sosial itu.
Zurich General Takaful Malaysia Bhd dan Yayasan Waqaf Malaysia misalnya masing-masing menyumbang sejumlah RM30,000 dan RM25,000 kepada Yayasan YOKUK.
Selain itu, Kumpulan Perangsang Selangor Bhd pula memberi sumbangan RM5,000 kepada Pertubuhan Tindakan Wanita Islam Malaysia.
-- BERNAMA
