KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Kerajaan bersetuju meneruskan inisiatif BUDI MADANI: BUDI Agri-Komoditi secara bersasar bagi membantu pekebun kecil, pengusaha serta golongan rentan yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau memahami denyut nadi rakyat yang sedang berdepan tekanan kenaikan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi dunia.
“Atas pertimbangan tersebut, kerajaan bersetuju meneruskan inisiatif BUDI MADANI: BUDI Agri-Komoditi secara bersasar demi membantu pekebun kecil, pengusaha serta golongan rentan yang menjadi tulang belakang ekonomi negara,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini selepas mendengar pembentangan utama daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) berhubung krisis rantaian bekalan global yang semakin menekan.
Berkaitan jaminan kesihatan rakyat, Anwar berkata secara keseluruhannya bekalan ubat di negara ini masih stabil dan KKM akan terus memantau secara rapi sebarang cabaran melibatkan rantaian stok dan harga bagi mengelakkan rakyat menjadi mangsa keadaan.
“Apa jua cabaran mendatang, Kerajaan MADANI akan terus bekerja keras, bertindak dengan ihsan dan memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan negara,” kata beliau.
-- BERNAMA
